Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pemain industri huluan sawit dijangka merekodkan prestasi lebih baik pada suku ketiga tahun ini dipacu purata harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi dan pengeluaran tandan buah segar (TBS).
Harga MSM setakat ini melonjak kira-kira 20% berbanding suku kedua 2020.
Di samping itu, pemain industri kecuali IJM Plantation Bhd. dan Sime Darby Plantation Bhd., merekodkan pengeluaran TBS yang lebih baik.
Penganalisis HLIB Research, Chye Wen Fei berkata, antara syarikat perladangan (yang berada dalam liputan HLIB), FGV Holdings Bhd. dan Hap Seng Plantations Resources BHd. (HS Plant) mencatatkan pengeluaran TBS yang tinggi pada suku ketiga, masing-masing meningkat 13.2% dan 14.2%.
"Untuk pencapaian berasaskan tahunan, pemain industri huluan sawit akan merekodkan prestasi suku ketiga lebih baik.
"Keadaan ini didorong purata harga MSM yang meningkat lebih daripada 30% pada suku ketiga, berbanding pengeluaran bercampur TBS antara pemain industri huluan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Wen Fei berkata, bagi pemain bersepadu pula, prestasi huluan yang kukuh sebahagiannya akan dipengaruhi oleh kelemahan segmen hiliran disebabkan kos bahan mentah yang tinggi dan permintaan lemah.
Bagi pengeluaran TBS pula, hanya 3 daripada 9 pemain industri merekodkan pengeluaran yang tinggi iaitu FGV, HS Plant dan IOI Corp.
"Selebihnya pula, melaporkan pengeluaran TBS yang rendah sekitar 0.5 hingga 9.4% tahun ke tahun.
"Ini disebabkan mereka terdedah kepada keadaan cuaca di Indonesia (terutama impak cuaca kering dalam tahun-tahun sebelumnya)," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, harga MSM semasa yang tinggi dijangka bertahan sepanjang 2020 di sebalik unjuran lebih tinggi, RM2,350 satu tan metrik, dan mungkin berlegar pada purata RM2,550 hingga RM2,600 satu tan metrik untuk tahun ini.
"Untuk itu, kami mengekalkan unjuran purata harga MSM sekitar RM2,350 kepada RM2,400 satu tan metrik pada 2020 hingga 2021," katanya. - DagangNews.com