KUALA LUMPUR 19 Okt - Pemansuhan Lesen Import (Approved Permit – AP) boleh mendorong kepada lambakan kenderaan import sepenuhnya (CBU) yang tidak mematuhi piawaian teknikal dan membahayakan pengguna di jalan raya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz berkata, kenderaan CBU baharu atau terpakai boleh diimport melalui mekanisma AP sedia ada tetapi tertakluk kepada syarat-syarat dikenakan oleh MITI seperti syarat ekuiti Bumiputera, modal berbayar minimum dan lain-lain.
Beliau berkata, mekanisme AP bertujuan membangunkan industri automotif secara inklusif yang merangkumi agenda meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera dalam rantaian bekalan industri automotif.
"Dasar mengenakan AP ke atas kenderaan import termasuk kenderaan elektrik (EV) adalah bagi memantau dan menyokong perkembangan industri automotif tempatan supaya selaras dengan halatuju Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.
"Ia juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficiency Vehicle – EEV)," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) berhubung langkah kerajaan untuk tidak memansuhkan sistem AP, mengecualikan cukai termasuk duti eksais dan import terhadap semua jenis EV termasuk kenderaan komersial dan motosikal.
Tengku Zafrul berkata, seperti yang diumumkan di dalam Bajet 2023, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais yang disediakan oleh kerajaan adalah terpakai untuk semua jenis EV, termasuk kenderaan komersial elektrik dan motosikal elektrik.
Bagi EV yang diimport dalam bentuk CBU, beliau berkata, insentif ini adalah terpakai sehingga 2025, manakala bagi EV yang dipasang secara tempatan adalah sehingga 2027.
"Selain itu, pengecualian sepenuhnya cukai jualan turut diberikan kepada EV yang dipasang secara tempatan sehingga 2027," katanya.
Beliau berkata, selaras dengan hasrat kerajaan mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, salah satu misi di bawah New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 iaitu “Push for Net Zero” telah menggariskan EV sebagai pemacu pertumbuhan utama ekonomi hijau.
Katanya, bilangan EV yang berdaftar di Malaysia sejak 2011 sehingga September 2023, secara khususnya jenis Battery Electric Vehicle (BEV) bagi kesemua jenis kenderaan termasuk komersial dan motosikal telah mencecah 12,000 unit.
Bilangan EV berdaftar telah mencecah 3,400 unit pada 2022 dan 7,500 unit pada 2023 (sehingga September), berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelumnya. - DagangNews.com