Pembekuan pengambilan pekerja asing masih kekal | DagangNews Skip to main content

Pembekuan pengambilan pekerja asing masih kekal


PUTRAJAYA 30 Julai - Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dasar pembekuan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun `masih kekal'.

Ini kerana kerajaan mengambil kira penularan wabak pandemik COVID-19 dan impak pandemik tersebut kepada pasaran pekerjaan melibatkan tenaga kerja tempatan.

``Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan untuk membenarkan majikan khususnya dari sektor-sektor yang berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian apabila `tempoh pembekuan tersebut berakhir'.

``Pertimbangan ini akan turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status pandemik COVID-19 dan pasaran pekerjaan tempatan,'' kata kementerian dalam kenyataan di sini.

Penjelasan kementerian itu adalah susulan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Solahudin Hashim semasa sesi soal jawab di Parlimen pada 29 Julai bahawa Kerajaan telah memberi kebenaran kepada majikan untuk menggajikan pekerja asing dalam sektor pembinaan, perladangan dan pertanian.

 

awang
                                                             Awang Solahudin Hashim

 

Menurut Awang Solahudin, kerajaan telah membuat garis panduan sebagai dasar untuk mengurangkan pekerja asing.

“Hanya tiga sektor ini sahaja yang dibenarkan pengambilan pekerja asing, lain-lain sektor perlu diisi oleh pekerja tempatan,” kata beliau. - DagangNews.com  

 

Pengambilan buruh asing dihadkan dalam tiga sektor sahaja