Pembelian tanah di Kuala Selangor bantu Scientex luaskan capaian pembinaan kediaman mampu milik di utara Selangor | DagangNews Skip to main content

Pembelian tanah di Kuala Selangor bantu Scientex luaskan capaian pembinaan kediaman mampu milik di utara Selangor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Kenanga Research menjangkakan pembelian tanah di Batang Berjuntai di Kuala Selangor akan meluaskan capaian Scientex Bhd bagi pembinaan kediaman mampu milik di bahagian utara Selangor.

 

Katanya, kumpulan itu memperoleh sebidang tanah pegangan bebas seluas 334.2 hektar di mukim Batang Berjuntai, Kuala Selangor daripada Metalplex Plantation Sdn Bhd dengan wang tunai RM335.7 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Scientex berhasrat membangunkan hartanah bercampur di atas tanah di antara Pekan Ijok dan Pekan Bestari Jaya.

 

Katanya, tanah itu terletak berdekatan dengan projek sedia ada seperti Scientex Kundang Jaya (25km) dan Scientex Rawang (36km), membolehkannya memanfaatkan sumber sedia ada.

 

"Pada harga RM335.7 juta, ia diterjemahkan kepada RM9.33 sekaki persegi, iaitu diskaun kepada harga yang diminta untuk tanah pertanian di kawasan sekitar RM12 hingga RM13 sekaki persegi.

 

"Kami percaya diskaun itu boleh dikaitkan dengan lokasi yang berada pada jarak yang jauh dari kawasan bandar Kuala Selangor dan keperluan untuk membuat pelaburan tambahan untuk kemudahan asas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Scientex beli tanah bernilai RM335.68 juta di Kuala Selangor

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana daya saing dalam industri pembungkusan plastik global memadangkan struktur kos yang rendah berbanding pesaing luar negara dan kehadiran kukuh dalam segmen perumahan mampu milik di Johor.

 

Bagaimanapun, perniagaan pembungkusan plastiknya, yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada pendapatannya, berkemungkinan tertekan oleh ekonomi global yang lembap dalam tempoh terdekat.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM3.75 sesaham," katanya. - DagangNews.com