Pembinaan pusat data tingkatkan peluang pembekal tenaga kembangkan perniagaan, kata UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Pembinaan pusat data tingkatkan peluang pembekal tenaga kembangkan perniagaan, kata UOB Kay Hian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - UOB Kay Hian Research (UOBKH) Research mengunjurkan pembinaan pusat data yang agresif di Malaysia akan menawarkan banyak peluang kepada pembekal tenaga bagi mengembangkan perniagaan mereka.

 

Pada dasarnya, terdapat potensi gangguan tenaga daripada ledakan pusat data dan ia memberi gambaran kerajaan mungkin memikirkan rancangan baharu bagi membekalkan tenaga termasuk pembinaan loji janakuasa baharu di Semenanjung Malaysia. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pembinaan loji janakuasa baharu dengan kapasiti lima gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 10GW hingga 15GW lagi menjelang 2040.

 

“Penerima manfaat utama ialah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang berpengalaman dalam membina loji kuasa,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penerima manfaat lain termasuk Tenaga Nasional Bhd Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Malakoff Corp Bhd, serta pemain tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

UOBKH Research mengekalkan saranan "market weight" ke atas sektor utiliti dengan Malakoff dan Pekat Group Bhd sebagai pilihan utamanya.

 

“Kami mengetengahkan bakal penerima manfaat dalam tiga bidang iaitu EPCC besar hingga pertengahan dengan pengalaman dalam membina loji janakuasa yang bekerja bersama rakan teknologi seperti Alstom, General Electric; entiti penjana dan pengeluar kuasa bebas seperti TNB Genco, Malakoff dan Edra serta pemain solar seperti Pekat, Solarvest Bhd, Samaiden Group Bhd dan Sunview Group Bhd,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu menambah, sebagai negara yang memperjuangkan inisiatif hijau, akan ada peluang untuk pelaburan dalam solar berskala besar serta loji biojisim/biogas/sisa kepada tenaga yang lain.

 

Katanya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) telah menetapkan sasaran untuk Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

Pelan itu adalah komprehensif dan menggariskan peningkatan berperingkat dalam bahagian RE, menyasarkan 31% menjelang 2025, 40% menjelang 2035, dan 70% menjelang 2050.

 

"Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, kami menjangkakan projek solar 3GW akan diberikan melalui Program Kuasa Hijau Korporat dan fasa kelima skim Solar Berskala Besar. Dengan mengandaikan kos pembinaan RM2 juta hingga RM2.5 juta bagi setiap megawatt, kerja-kerja EPCC dianggarkan RM6 bilion hingga RM7 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun.

 

"Ini akan meningkatkan penambahan buku pesanan pemain RE sedia ada dalam segmen EPCC. Selain itu, pemilikan separa ladang solar akan membantu meningkatkan pendapatan berulang untuk pemain EPCC,” katanya.- DagangNews.com