Pemegang saham beri ‘lampu hijau’ HB Global beli 60% kepentingan FRC | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham beri ‘lampu hijau’ HB Global beli 60% kepentingan FRC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - HB Global Ltd dijangka meneruskan hasrat kumpulan untuk mengambil alih 60% kepentingan dalam firma infrastruktur 5G, Forward Resources and Construction Sdn. Bhd. (FRC) selepas mendapat persetujuan 99.99% daripada pemegang sahamnya.

 

Pengarah Eksekutif HB Global, Lee Ping Wei melihat persetujuan itu merupakan langkah penting untuk kumpulan memandangkan ia bakal mendatangkan aliran pendapatan lain yang kukuh dan stabil.

 

“Kami teruja kerana cadangan ini akhirnya diluluskan oleh pihak berkuasa dan pemegang saham. Ini sebahagian daripada strategi kami untuk mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan makanan sedia ada.

 

Lee Ping Wei
Lee Ping Wei

 

“Usaha sama ini akan membantu kedua-dua HB Global dan FRC untuk memenuhi potensi dan keupayaannya dalam pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) HB Global adalah cadangan mempelbagaikan segmen perniagaan kumpulan ke dalam perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan.

 

Kedua-dua cadangan itu adalah susulan daripada dua perjanjian berbeza yang diberikan oleh FRC untuk dua tender projek, masing-masing bernilai RM370 juta dan RM701 juta pada 24 Jun 2021.

 

Sebagai rekod, FRC telah dilantik sebagai kontraktor bebas dan dijangka untuk menyelesaikan projek-projek berkenaan dalam tempoh tiga tahun yang melibatkan skop bekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, komisen, operasi, penyelenggaraan, dan penggunaan infrastruktur dan penyelesaian 5G di seluruh Malaysia.

 

Berdasarkan margin antara 15% hingga 20%, FRC bakal mencatatkan keuntungan kasar antara RM150 juta hingga RM200 juta untuk kedua-dua projek berkenaan.

 

Menerusi pengambilalihan kepentingan itu, FRC dijangka mendatangkan keuntungan jaminan terkumpul sebanyak RM20 juta dalam tempoh dua tahun.

 

Diasaskan pada 1993, FRC menawarkan perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan, termasuk infrastruktur 5G bagi industri telekomunikasi yang menyaksikan pelanggan-pelanggannya terdiri daripada Maxis, Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan Edotco. - DagangNews.com