Pemegang saham Icon Offshore disaran tolak tawaran am mandatori Yinson – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Icon Offshore disaran tolak tawaran am mandatori Yinson – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Harga tawaran Yinson Holdings Bhd untuk mengambil alih Icon Offshore Bhd pada 63.5 sen sesaham dilihat tidak menarik, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu menyarankan pemegang saham Icon Offshore untuk menolak tawaran tersebut dengan mengekalkan harga sasaran (TP) pada 80 sen sesaham.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng menerusi syarikat persendiriannya, Liannex Maritime Sdn Bhd telah mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) untuk saham Icon Ofsshore pada 63.5 sen dan waran pada 0.1 sen selepas pengambilalihan 50.2% kepentingan dalam Icon Offshore.

 

Bahagian kepentingan itu diperoleh Lim dan isterinya, Bah Kim Lian daripada firma ekuiti swasta milik kerajaan Equinas pada harga RM172.7 juta.

 

MGO berkenaan melibatkan sejumlah 269.6 juta saham dan 130.9 juta waran Icon Offshore.

 

 

Kenanga Research berkata, harga tawaran diterjemahkan kepada harga kepada pendapatan (P/E) tahun kewangan 2025 (FY25) 7.8 kali, iaitu diskaun kepada median hadapan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 10.2 kali diperhatikan dalam kalangan syarikat kapal sokongan luar pesisir (OSV) tersenarai di bursa saham Malaysia dan Singapura semasa kitaran naik 2010 hingga 2014.

 

“Dari segi nilai aset, perjanjian itu menilai Icon Offshore pada harga kepada nilai buku (PBV) FY23 pada 0.9 kali, iaitu diskaun kepada dua kali ganda untuk syarikat OSV tersenarai di Malaysia dan Singapura semasa kitaran naik 2010 hingga 2014. 

 

“Bagaimanapun, kami sedar bahawa PBV yang direkodkan pada 2010 hingga 2014 adalah jauh lebih tinggi disebabkan oleh pasaran OSV di kemuncak dan lazimnya PBV lebih relevan untuk penilaian ketika kitaran bawah. Sebagai perbandingan, PBV Perdana Petroleum Bhd bagi FY23 berada pada 1 kali ganda, iaitu 10% lebih tinggi,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham utama Yinson ambil alih 50.2% kepentingan dalam Icon Offshore, cetus MGO pada 63.5 sen sesaham

 

Mengulas tentang hasrat penawar untuk mengekalkan status penyenaraian Icon Offshore, Kenanga Research berkata, Yinson, yang terlibat dalam perniagaan minyak dan gas, mungkin dapat menambah nilai dari segi membantu Icon Offshore mendapatkan lebih banyak kontrak sewa dan mengoptimumkan kumpulannya.

 

“Kami menyukai Icon Offshore kerana (i) ia mendapat manfaat utama daripada kitaran menaik pasaran OSV tempatan pada masa akan datang kerana defisit bekalan kapal berterusan, (ii) kunci kira-kiranya bertambah baik dan memberi ruang untuk pengembangan aset masa hadapan, dan (iii) kestabilan asas kos yang memerlukan pengembangan besar margin pada kadar piagam lebih tinggi,” tambahnya.

 

Saham Icon Offshore didagang tinggi 3.5 sen atau 4.8% pada 76.5 sen setakat pukul 2:50 petang ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM414.4 juta. Ia aktif didagangkan hari ini dengan sejumlah 17.96 juta saham bertukar tangan. - DagangNews.com