Pemerkasa dorong pemulihan lebih baik perbelanjaan runcit | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa dorong pemulihan lebih baik perbelanjaan runcit

perbelanjaan runcit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Pakej rangsangan terbaharu iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan semalam dilihat menjadi pendorong kepada pemulihan yang lebih baik dalam perbelanjaan runcit.

 

MIDF Research berkata, daripada pakej berkenaan, kira-kira RM8.0 bilion akan dibayar dan diagihkan kepada rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19 serta golongan berpendapatan rendah.

 

Dengan peruntukan berkenaan, MIDF Research mengharapkan peningkatan terhadap sentimen dan perbelanjaan pengguna yang akhirnya menguntungkan sektor pengguna.

 

"Kami sebelum ini menjangkakan bahawa pemulihan perbelanjaan dalam sub-segmen runcit yang berbeza kerana kami berpendapat bahawa pengguna lebih cenderung menumpukan kepada barangan keperluan berbanding perbelanjaan barangan sampingan lain.

 

"Dengan tambahan tunai berbanding tahun sebelumnya, kami berpendapat ia akan memberi peluang yang lebih banyak untuk perbelanjaan barangan sampingan lain.

 

"Dengan pengumuman pakej rangsangan tersebut juga, kami mengharapkan prospek yang lebih baik dalam segmen perbelanjaan runcit hasil daripada permintaan pengguna yang tertangguh," jelas MIDF Research.

 

Sebelum ini, Persatuan Peruncit Malaysia, Rangkaian Runcit Malaysia dan Kumpulan Runcit Malaysia menjangkakan jualan di pusat beli-belah menurun sebanyak 47.4% dalam tempoh suku pertama 2021.

 

Selain itu, segmen fesyen dan aksesori juga dijangka menurun 21.5% untuk tempoh sama.

 

Dalam pada itu, MIDF Research memberitahu, pihaknya turut mengharapkan agar kelonggaran pergerakan dan SOP yang lebih sesuai memberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna.

 

Kelonggaran tersebut diharap dapat meningkatkan sentimen pengguna khususnya dalam tempoh menyambut Hari Raya pada Mei nanti.

 

"Kami juga mengharapkan segmen hotel, restoren dan kafe dapat pulih dengan kelonggaran sekatan pergerakan

 

"Kami percaya bahawa pemulihan segmen runcit akan melonjak dengan bantuan tunai tambahan berbanding tahun sebelumnya.

 

"Kami juga berpendapat bahawa sektor pengguna akan menjadi salah satu sektor penerima manfaat langsung hasil pemulihan ekonomi tempatan dan serantau," tambah MIDF Research lagi. - DagangNews.com