Pemulihan BP Plastics dipacu peningkatan permintaan produk pembungkusan margin tinggi | DagangNews Skip to main content

Pemulihan BP Plastics dipacu peningkatan permintaan produk pembungkusan margin tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kenanga Research menjangkakan pemulihan berterusan BP Plastics Holdings Bhd disokong permintaan lebih tinggi produk pembungkusan plastik dengan margin tinggi yang digunakan untuk tujuan pengangkutan serta penyimpanan.

 

Katanya, kumpulan itu juga mengunjurkan jualan lebih tinggi untuk filem regangan yang menawarkan margin yang tinggi selain filem pembungkusan teknikal tersuai khususnya.

 

Bagi FY24, BP Plastics mengunjurkan peningkatan jualan antara 8% hingga 10% bagi pasaran domestik dan pembeli antarabangsa.

 

"Hasil kumpulan itu didorong oleh jualan produk premium termasuk filem regangan yang lebih nipis dengan ketebalan serendah 10 mikron untuk gulungan mesin dan enam mikron bagi gulungan tangan dan filem pembungkusan tersuai teknikal khusus daripada dua mesin yang ditauliahkan pada hujung FY23.

 

"Kami percaya filem regangan nano mempunyai kelebihan daya saing yang kuat di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memandangkan struktur kos yang tinggi, terutamanya, kos tenaga pengeluar domestik di sana," katanya. dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, BP Plastics merancang perbelanjaan modal sebanyak RM35 juta pada FY24 bagi disalurkan kepada mesin pencetak dan pemotongan baharu yang akan ditauliahkan pada separuh kedua tahun ini bagi meningkatkan margin.

 

Peruntukan itu juga akan digunakan bagi pemasangan solar tambahan bagi mengurangkan kos elektrik dan menaik taraf sistem bekalan kuasa di kilang.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana memiliki kekuatan di pasaran Asia Tenggara yang dijangka kekal berdaya tahan walaupun berdepan ekonomi tidak menentu, aliran tunai dan kunci kira-kira yang kukuh membolehkannya mengharungi situasi tidak menetu dengan baik.

 

"Pengembangan kapasiti jangka panjang dalam produk filem regangan premium margin tinggi dan produk pembungkusan lainnya," katanya.

 

Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan bagi FY24 dan FY25 sebanyak 4% dan 3%, berdasarkan campuran produk jualan yang lebih baik dan margin yang bertambah baik.

 

Firma penyelidikan itu juga menaikkan penarafan kumpulan kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.42 sesaham. - DagangNews.com