Pemulihan ekonomi masih sukar, Belanjawan 2021 jadi pemangkin - Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Pemulihan ekonomi masih sukar, Belanjawan 2021 jadi pemangkin - Bank Dunia

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Belanjawan 2021 menjadi pemangkin utama dalam membantu pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Keadaan ini disokong oleh asas ekonomi negara yang kukuh dan mempunyai kelebihan daya saing yang lebih utuh dalam menghadapi krisis tersebut.  

 

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Dunia, Richard Record berkata, laluan ke arah pemulihan ekonomi masih berdepan risiko berterusan apatah lagi pembentangan Belanjawan 2021 dibuat ketika negara berdepan tempoh mencabar. 

 

Ini termasuklah pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan berbanding dijangkakan yang akan terus memberi tekanan kepada sentimen pelabur. 
 

"Terdapat banyak ketidaktentuan ketika ini terutama dari segi pengembangan dan pengunaan vaksin COVID-19 serta kaedah rawatan. 

 

"Begitu juga dengan risiko yang akan terus memberi kesan kepada ekonomi dan sosial akibat kemelesetan ekonomi," katanya dalam kenyataan. 

 

Richard Record
Richard Record

 

Menurutnya, Bank Dunia menganggarkan 90% daripada ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan tahun ini termasuk Malaysia. 

 

"Sepertimana kerajaan lain, bajet ini dirangka bagi menyeimbangkan antara nyawa dan kehidupan rakyat dengan pelaburan dalam pertumbuhan dan pemulihan ekonomi," katanya. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis bahawa ekonomi negara akan terus meningkat melalui Belanjawan 2021 yang banyak menyediakan insentif luar biasa serta pelbagai peluang pekerjaan baharu.

 

Pada belanjawan itu, hampir RM28 bilion daripada RM322.5 bilion jumlah keseluruhan peruntukan belanjawan itu adalah dalam bentuk subsidi dan insentif.

 

Jelas Richard, Belanjawan 2021 dilihat mengiktiraf keperluan untuk memberi sokongan kepada kehidupan rakyat terutama B40 yang menerima tekanan paling teruk. 

 

Beliau menyifatkan ia adalah masa yang tepat untuk mempertahankan pendirian 'counter-cylical' sehingga pemulihan mulai kembali.

 

"Kerajaan memberi penekanan pada keterangkuman dengan langkah-langkah lanjutan untuk mengekalkan sokongan perlindungan sosial kepada yang mudah terjejas.

 

"Ini termasuk pengembangan tahap manfaat dan liputan penerima manfaat daripada pelbagai program sedia ada dan pemindahan wang tunai baharu seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)," ujarnya. 

 

Namun, menurutnya, keperluan fiskal dalam tindak balas bagi menangani krisis ini beserta hasil kerajaan yang menurun akan memberi cabaran kepada prospek fiskal dalam tempoh sederhana. 

 

Seperti kerajaan lain di seluruh dunia, Malaysia telah menghabiskan banyak ruang fiskal sedia ada dan akan keluar dari krisis dengan beban hutang yang besar dan liabiliti luar jangka. 

 

"Keadaan ini akan menyebabkan kerajaan berdepan kekangan untuk mengembangkan perbelanjaan bagi menyokong rangsangan jangka pendek dalam tempoh sederhana, yang mungkin menyukarkan kerajaan untuk melabur bagi pemulihan ekonomi dan pertumbuhan akan datang," jelas beliau. 

 

Atas sebab itu, beliau berkata, langkah kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif pembaharuan fiskal termasuk pembangunan Strategi Perolehan Jangka Sederhana (MTFF) akan menangani krisis fiskal dan menambah baik kapasiti hasil kerajaan untuk membiayai pertumbuhan berterusan dan agenda inklusif jangka panjang negara. - DagangNews.com