Pemulihan permintaan pembedahan elektif, Kenanga Research semak naik unjuran untung bersih KPJ Healthcare sebanyak 5% bagi FY23 dan FY24 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan permintaan pembedahan elektif, Kenanga Research semak naik unjuran untung bersih KPJ Healthcare sebanyak 5% bagi FY23 dan FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Kenanga Research menyemak naik unjuran untung bersih KPJ Healthcare sebanyak 5% bagi FY23 dan FY24 disokong pemulihan permintaan terhadap pembedahan elektif.

 

Firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran perkembangan kehadiran pesakit sebanyak 9% berbanding jangkaan 7% pada FY23 dengan kadar penggunaan katil (BOR) sebanyak 71% (68% pada 2023).

 

Katanya, semakan baru-baru ini menunjukkan tiada tanda-tanda penurunan pesakit di hospital-hospital KPJ dan ia sekali gus membuka jalan untuk kumpulan itu mencatatkan prestasi kukuh pada 4QFY23 yang pada masa sama berpotensi dirangsang dengan kadar cukai berkesan yang lebih rendah.

 

Suku keempat lazimnya merupakan suku terkuat KPJ dan unjuran untung bersih FY23 sebanyak RM228 juta (sebelum dinaikkan) dilihat konservatif.

 

"Kami kini menjangkakan untung bersih 4QFY23 KPJ sebanyak RM75 juta didorong oleh penghunian katil yang lebih tinggi dan daya pengeluaran pesakit dalam yang disokong permintaan berterusan untuk pembedahan elektif.

 

"Untung bersih teras FY23 kumpulan itu dijangka meningkat lebih tinggi kepada RM239 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu pendapatan suku ke suku pada 3QFY23 didorong kehadiran pesakit dalam yang tinggi (17%) dan pesakit luar (11%) dengan BOR meningkat kepada 73% berbanding 63% pada 2QFY23.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan kumpulan itu kekal positif pada FY24 berdasarkan kecekapan operasi daripada usaha pengoptimuman kos hasil daripada peningkatan pembukaan katil baharu secara berperingkat.

 

Katanya, setelah memperoleh hasil tambahan yang disokong oleh kapasiti pesakit yang lebih tinggi, dua hospital kumpulan itu dalam tempoh tunggu hasil telah mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif.

 

Hanya tiga hospital iaitu Hospital Pakar KPJ Miri, Hospital Pakar KPJ Perlis dan Hospital Pakar Damansara 2 masih mencatatkan kerugian.

 

Kumpulan itu menjangkakan hospital-hospital itu akan mula mencapai tahap pulang modal menjelang akhir 2024 didorong peningkatan pendapatan.

 

"Kami percaya pengurusan akan terus memberi fokus ke arah keuntungan berikutan pelupusan operasi Indonesia yang merugikan dan Jeta Garden (pusat penjagaan warga emas di Australia)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM1.86 berbanding RM1.56 sesaham. - DagangNews.com