Penambahbaikan operasi Tabung Haji penting bagi lindungi pendeposit dan kestabilan sistem kewangan | DagangNews Skip to main content

Penambahbaikan operasi Tabung Haji penting bagi lindungi pendeposit dan kestabilan sistem kewangan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA 18 Julai - Keputusan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan menambahbaik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

"Ini adalah bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus yang baik yang ditetapkan oleh United Nations Convention Against Corruption (UNCAC)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut beliau, TH juga merupakan institusi kewangan yang disifatkan sistemik dan saling berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar (dari segi saiz deposit dan pelaburan) seperti berikut:
• TH mengurus sejumlah hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua tahun 2021, merangkumi 10% daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam. Sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam. Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam berkenaan.
• TH memegang sebanyak RM36 bilion sukuk korporat.
• TH mempunyai aset saham yang besar dalam bentuk pelaburan strategik di
pelbagai syarikat korporat termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
• TH merupakan pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad.

 

Sehubungan itu ujar beliau, bagi meningkatkan kemampanan TH dalam jangka masa panjang, cadangan aturan pengawalseliaan yang lebih formal di bawah BNM akan meletakkan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759].

 

"Pemantauan dan kawal selia oleh BNM merupakan komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai sebuah institusi Islam yang lebih berdaya tahan di dalam ekosistem kewangan negara dan ke arah mengangkat kedudukan TH sebagai sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang cemerlang dan lestari di peringkat global," kata beliau.

 

Tengku Zafrul berkata, BNM dipertanggungjawabkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 [Akta
701] antara lainnya untuk memelihara kestabilan sistem kewangan negara. Bagi melaksanakan mandat ini, BNM telah diberi kuasa menurut Akta 701 dan juga Akta 759 termasuk mengawal selia institusi kewangan bersifat sistemik, tertakluk kepada keperluan tadbir urus yang terkandung di dalam Akta-Akta berkenaan.

 

Katanya, pendekatan yang sama telah diguna pakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

 

"Oleh yang demikian, cadangan rangka kerja pengawalseliaan oleh BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu “fit-for-purpose regulation”, tidak semestinya sama
dengan institusi perbankan lain.

 

Contohnya:
• Keperluan pematuhan kecukupan modal yang khusus akan dibangunkan bersesuaian dengan model perniagaan TH iaitu pengambilan deposit (bahagian liabiliti) untuk tujuan pelaburan (bahagian
aset), berbeza dengan institusi perbankan yang mengambil deposit (bahagian liabiliti) bagi tujuan utama memberi pembiayaan (bahagian aset).

• Keperluan kecairan yang bersesuaian dengan ciri-ciri deposit dan pelaburannya bagi memastikan TH dapat mengurus aspek kecairan dengan lebih mantap dalam memenuhi kehendak pengeluaran
pendepositnya tanpa mendatangkan kesan negatif terhadap keberuntungan TH dan sistem kewangan secara keseluruhannya.

 

Tengku Zafrul berkata, pengawalseliaan oleh BNM adalah perlu bagi mewujudkan aspek semak dan
imbang (check and balance) selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah. Dalam hal ini, secara dasarnya BNM akan menumpukan peranan kawal seliaannya antara lain terhadap aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan.

 

"Pendekatan semak dan imbang yang serupa telah dilaksanakan dalam pasaran modal dan industri lain. Contohnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak menghalang atau menyekat PNB dari melaksanakan mandat asalnya dalam agenda pembangunan negara terutamanya memakmurkan ekonomi bumiputera.

 

"Manakala dalam industri tenaga pula, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pemain industri dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga. Di dalam industri komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia merupakan badan pengawal selia industri komunikasi. Justeru, pendekatan semak dan imbang bukanlah suatu perkara yang baharu malah telah lama diamalkan dalam konteks tadbir urus
pembangunan negara," kata beliau.

 

Menteri Kewangan berkata, dalam konteks syariah, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah BNM yang
dianggotai oleh para cendekiawan syariah dan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman serta turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

"Walaupun TH dicadangkan sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang ditetapkan, Kerajaan akan tetap
memberi jaminan terhadap simpanan pendeposit. Dalam erti kata lain, pendeposit TH terus menikmati jaminan Kerajaan seperti sekarang (status quo) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].

 

"Pendekatan ini adalah sama seperti BSN yang dikawalselia oleh BNM di mana simpanan pendeposit masih dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan," kata beliau.

 

Menurutnya, setiap aktiviti pelaburan TH hendaklah patuh syariah dan penilaian pelaburan perlu dilaksanakan melalui satu proses yang teliti dan telus seperti mana amalan institusi dana yang lain dengan penubuhan Panel Pelaburan yang dianggotai oleh individu-individu yang mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam bidang kewangan dan pelaburan.

 

Langkah ini bertujuan untuk memastikan pelaburan yang dibuat adalah teratur dan berpandukan risk appetite TH, serta dapat menjamin pembayaran hibah dibuat selaras dengan ketetapan di bawah
peruntukan Seksyen 22(3) Akta 535.

 

"MOF akan bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan hak mutlak dan kepentingan pendeposit TH tidak akan terhakis, malah akan ditambah baik," kata Tengku Zafrul. - DagangNews.com