Penampilan sulung CTOS Digital memberangsangkan, Priva, Permaju, DNeX curi tumpuan | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung CTOS Digital memberangsangkan, Priva, Permaju, DNeX curi tumpuan

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pasaran saham tempatan berjaya dibuka lebih tinggi sedikit, menokok 0.19 mata kepada 1,522.67, namun menyusut selepas empat minit didagangkan. 

 

Pada 9.04, indeks pasaran utama, FBM KLCI merosot 1.05 mata atau 0.07% kepada 1,521.43 daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,522.48 mata. 

 

Mencuri tumpuan pada pagi ini adalah saham CTOS Digital Berhad, apabila membuat penampilan sulung yang memberangsangkan, dibuka 40 sen lebih tinggi kepada RM1.50.

 

Ini lebih tinggi daripada tawaran awam awal (IPO), RM1.10.

 

Pada Jumaat lalu, CTOS mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi, sebanyak RM11.84 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun 2021 (2Q21) daripada RM7.50 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Turut rancak diniagakan saham Privasia Technology Berhad (Priva) yang menokok RM0.005 atau 2.13% kepada 24 sen. 

 

Pada 16 Julai lalu, Priva mengumumkan bahawa anak syarikatnya Privasia Sdn. Bhd. telah memeterai satu kontrak dengan Westports Malaysia Sdn Bhd (Westports) melibatkan kerja-kerja teknologi maklumat (IT).

 

Dalam kalangan kaunter aktif diniagakan menyaksikan Permaju Industries Berhad dibuka 13.64% lebih tinggi kepada RM0.125.

 

Ini diikuti oleh Dagang Nexchange Berhad (DNeX), B.I.G. Industries Berhad, Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) dan Pasukhas Group Berhad. 

 

Sementara itu, saham Vitrox Corporation Berhad mengungguli kaunter paling untung, menokok 48 sen kepada RM16.44 diikuti oleh Carlsberg Brewery Malaysia Berhad yang dibuka 26 sen lebih tinggi kepada RM21.38. 

 

Saham Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) pula mencatatkan kerugian tertinggi, merosot 58 sen kepada RM42.02. 

 

Di kedudukan kedua dalam kaunter paling rugi, Nestle (Malaysia) Berhad menyusut 30 sen kepada RM133.10. 

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada pagi ini 'beraksi' agak positif, apabila jumlah kaunter untung iaitu sebanyak 291 mengatasi jumlah kaunter rugi, 257. - DagangNews.com