Penarafan Sunway Construction diturunkan kepada 'neutral' daripada 'beli', TP RM2.86 sesaham - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Penarafan Sunway Construction diturunkan kepada 'neutral' daripada 'beli', TP RM2.86 sesaham - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - MIDF Research menyemak turun penarafan Sunway Construction Group Bhd daripada 'beli' kepada 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM2.86 sesaham.

 

Katanya, perancangan projek kumpulan itu dijangka kekal sihat dan mereka dilihat akan menjadi antara penerima manfaat utama daripada peningkatan permintaan pusat data daripada inisiatif pembangunan dalam Belanjawan 2024.

 

"Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek mega seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

 

"Kami percaya kenaikan harga sahamnya sebanyak 40.7% setakat ini memberi penilaian saksama terhadap prospek kumpulan buat masa ini.

 

"Oleh itu, kami menyemak turun penarafan kumpulan daripada 'beli' kepada 'neutral' dengan TP sebanyak RM2.86 sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Construction peroleh projek bina pusat data bernilai RM747.8 juta di Selangor

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memperoleh kontrak besar kedua pada tahun ini dengan pembinaan pusat data bernilai RM747.8 juta 

 

Katanya, projek itu dicagarkan oleh anak syarikat milik penuh kumpulan itu Sunway Construction Sdn Bhd daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

 

"Projek itu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan, bermula dari 15 Mei 2024 dan akan dibahagikan kepada empat bahagian, setiap satu dengan tarikh siap yang ditetapkan dengan jangkaan siap bahagian akhir pada suku kedua 2027," katanya.

 

MIDF Research berkata, berdasarkan andaian margin antara 6% hingga 8%, kumpulan itu dijangka menjana untung kasar antara RM44.9 juta hingga RM59.8 juta daipada projek itu.

 

Sementara menunggu butiran lanjut, pihaknya menjangkakan sumbangan untung kasar akan meningkat sehingga RM7 juta untuk FY24, RM15.4 juta pada FY25, RM24.9 juta pada FY26 dan RM12.5 juta pada FY27. - DagangNews.com