Pendapatan 2QFY23 Kotra Industries dijangka positif didorong peningkatan permintaan pasaran domestik - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan 2QFY23 Kotra Industries dijangka positif didorong peningkatan permintaan pasaran domestik - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - RHB Research menjangkakan Kotra Industries Berhad untuk terus meraih pendapatan positif pada 2QFY23 disokong oleh permintaan yang sihat untuk ubat-ubatan di kaunter (OTC) daripada pasaran tempatan serta pemulihan dalam jualan eksport selepas pembukaan semula sempadan.

 

Firma itu berkata, impak kekurangan bahan mentah mungkin tidak dapat dilihat pada 2QFY23 tetapi pertumbuhan pendapatan syarikat dijangka berkurangan secara berurutan pada suku itu.

 

"Bagaimanapun kebimbangan terhadap kekurangan bahan mentah membawa kepada tambahan tempahan pelanggan lebih awal daripada jangkaan.

 

"Kami percaya segmen ubat generik kumpulan seperti Axcel dan Vaxcel akan mendapat manfaat daripada lonjakan pesanan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun terdapat potensi lonjakan dalam kos bahan farmaseutikal aktif atau API, mereka menjangkakan kumpulan itu memiliki kelebihan dalam mengurangkan harga bahan mentah melalui pendedahannya dalam jualan eksport (dalam dolar Amerika Syarikat (AS)).

 

"Jualan eksport kumpulan itu kembali ke paras 28% berbanding 20% pada 4QFY22 hasil pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022," katanya.

 

Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY23F-24 sebanyak 10% dan 8% selepas mengambil kira  potensi pertambahan tempahan daripada pelanggannya yang bimbang terhadap kekurangan bekalan ubatan.

 

Firma itu menyemak naik saranan kepada 'beli' daripada 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) RM7.07, lebih tinggi berbanding RM5.72 sesaham.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan risiko kenaikan harga bahan mentah, penetapan mekanisma baharu harga ubat oleh kerajaan dan penurunan harga ringgit di pasaran global," katanya. - DagangNews.com