Pendapatan 9MFY22 LBS Bina Group melepasi unjuran CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan 9MFY22 LBS Bina Group melepasi unjuran CGS-CIMB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pendapatan LBS Bina Group Berhad untuk 9MFY22 berjaya mengatasi unjuran CGS-CIMB Research didorong hasil yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk sektor pembangunan hartanah.

 

Firma itu berkata, sehingga 20 November 2022, kumpulan itu berjaya merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM1.83 bilion mengatasi sasaran jualan baharu bagi FY22 iaitu RM1.6 bilion.

 

Katanya, peningkatan hasil jualan yang tinggi itu juga didorong oleh kadar pengambilan yang tinggi sebanyak 82% untuk projek-projek mereka.

 

"Kami percaya jualan baharu untuk FY22 akan mengatasi angka RM2 bilion selepas melihat momentum jualan yang kukuh.

 

"Majoriti jualan baharu itu diraih daripada projek di Lembah Klang (90% daripada jualan 9MFY22) diikuti Johor (4%), Pahang (4%) dan Perak (2%).

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 3QFY22 melonjak 94.93% kepada RM35.35 juta daripada RM18.14 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Hasil bagi suku itu juga meningkat lebih dua kali ganda kepada RM528.89 juta berbanding RM253.96 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih kumpulan meningkat 68.95% kepada RM100.64 juta daripada RM59.57 juta dan hasil terkumpul berkembang sebanyak 46.12% kepada RM1.35 bilion berbanding RM922.43 juta.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion pada FY22F, iaitu LBS CyberSouth (RM854 juta), Alam Perdana (RM120 juta), D'Island Residence (RM132 juta), Genting (RM492 juta), Bandar Putera Indah (RM108 juta) dan Taman Kinding Flora (RM64 juta).

 

Sehingga 14 November 2022, kumpulan itu telah melancarkan projek bernilai sehingga RM1.2 bilion.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan nilai sasaran (TP) 55 sen," katanya. - DagangNews.com