Pendapatan diunjur lebih baik pada FY24 didorong perniagaan bijirin, pengilangan dan makanan ternakan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan diunjur lebih baik pada FY24 didorong perniagaan bijirin, pengilangan dan makanan ternakan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kenanga Research menjangkakan pendapatan PPB Group Berhad akan mencatatkan pemulihan yang lebih baik pada FY24 didorong oleh peningkatan pendapatan daripada perniagaan bijirin, pengilangan tepung dan makanan ternakan.

 

Firma itu berkata, perniagaan itu dijangka bertambah baik berdasarkan kepada permintaan yang semakin meningkat dan kenaikan harga secara beransur-ansur tetapi juga kejatuhan harga input bijirin seperti gandum dan jagung.

 

Katanya, kelemahan harga minyak sawit mentah (MSM) adalah dijangka selaras dengan pemulihan bekalan minyak makan dan firma itu menyemak turun harga purata MSM bagi FY23-FY24 daripada RM3,800 kepada RM3,700 bagi setiap tan. 

 

"Kumpulan itu menguasai lebih separuh daripada koleksi box office pawagam Malaysia dengan pelanggan pawagam melonjak semula selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan. 

 

"Pemulihan GSC pada 1QFY23 adalah lebih perlahan daripada yang dijangkakan tetapi aliran meningkat pendapatan yang kukuh masih dijangka masuk ke FY24.

 

"Begitu juga, perniagaan pusat beli-belah menyaksikan lebih ramai penyewa manakala projek hartanah baharu di Kedah akan mula menyumbang dengan lebih bermakna mulai FY24 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi 1QFY23 meningkat kepada RM377.53 juta daripada RM303.15 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Hasil juga meningkat 10% kepada RM1.51 bilion daripada RM1.34 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pemulihan segmen bijirin dan perniagaan tani, serta pameran dan pengedaran filem.

 

Pendapatan segmen bijirin dan perniagaan taninya lebih tinggi sebanyak 11% kepada RM1.16 bilion pada suku pertama daripada RM1.04 bilion pada 1QFY22 berikutan pasaran komoditi bijirin yang stabil.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM19.30 sesaham.

 

"Kami menyukai kedudukan perniagaan kumpulan itu yang kukuh dalam keperluan pengguna seperti tepung, makanan, produk sedia untuk dimakan serta hiburan  di ASEAN," katanya. - DagangNews.com