Pendapatan Hiap Teck diunjur meningkat, dipacu kenaikan harga keluli - HLIB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Hiap Teck diunjur meningkat, dipacu kenaikan harga keluli - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Pendapatan Hiap Teck Venture Berhad diunjur meningkat dipacu kenaikan harga keluli di pasaran kesan pembukaan semula ekonomi China, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma itu berkata, berikutan pendapatan positif pada 2QFY23, pengurusan menjangkakan pendapatan yang lebih baik pada suku berikutnya disokong oleh kedua-dua harga yang bertambah baik dan pemulihan bermusim dalam permintaan keluli domestik.

 

Katanya, sumbangan teras Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) kepada Hiap Teck meningkat kepada RM16.8 juta selepas diselaraskan untuk transaksi tukaran mata wang asing sebanyak RM16 juta.

 

Sumbangan yang lebih tinggi daripada ESSB, harga keluli yang bertambah baik dan harga input utama yang lebih rendah menyebabkan kerugian bersih teras kumpulan itu mengecil kepada RM400,000 berbanding RM23.5 juta pada 1QFY23.

 

Dalam jangka panjang, pemulihan harga keluli berkemungkinan kekal tidak sekata disebabkan tekanan inflasi global, kenaikan kadar faedah, kadar pertukaran yang tidak menentu, isu geopolitik dan kegawatan perbankan.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan menekankan bahawa potensi pertumbuhan pendapatan dijangka kekal, disokong oleh pengembangan kapasiti utama ESSB.

 

"Pengurusan optimis bahawa penyebaran arang-kok akan terus meluas dalam tempoh enam bulan akan datang (apabila penggunaan kapasiti kilang keluli di China meningkat). 

 

"Kos pemprosesan arang batu kok yang lebih tinggi (berbanding pembelian) akan dikurangkan sebahagiannya dengan penjimatan kos daripada elektrik yang dijana oleh loji ketuhar kok," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 38 sen sesaham.

 

"Kami terus menyukai kumpulan itu kerana kunci kira-kiranya yang sihat dan potensi pertumbuhan berbilang tahun dalam pendapatan ESSB, disokong oleh usaha berterusannya dalam meningkatkan kecekapan kos dan pengembangan kapasiti utama," katanya. - DagangNews.com