KUALA LUMPUR 2 Jun - Kenanga Research menjangkakan pendapatan IHH Healthcare Berhad bagi setiap pesakit mencatatkan pertumbuhan antara 10% hingga 15% pada tahun ini untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turkiye pada tahun ini.
Firma itu berkata, kadar penghunian katil (BOR) diunjur meningkat antara 60% hingga 73% berbanding 56% hingga 70% pada tahun sebelum ini.
"Kami percaya faktor pertumbuhan utama untuk pesakit dan BOR ialah kehadiran semula pembedahan elektif dan pelancongan kesihatan, penambahan katil baharu (sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan) dan sumbangan setahun penuh pertama daripada hospital Atasehir di Acibadem, Tukiye," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menyukai kumpulan itu kerana kuasa penentuan harga dan permintaan penjagaan kesihatan yang tidak anjal memberikan keupayaan untuk mengatasi kos ketika berlaku peningkatan inflasi.
Katanya, pemulihan kukuh dalam daya pengeluaran pesakit daripada pasaran domestik dan antarabangsa ketika wabak berkahir merupakan antara kelebihan kumpulan itu.
"Selain itu penguasaan pasaran dalam ruang penjagaan kesihatan swasta dengan kehadiran yang kukuh di Malaysia, Singapura, Turkiye dan China," katanya
Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan industri penjagaan kesihatan akan terus menghadapi tekanan makroekonomi jangka pendek kerana kebanyakan kos dijangka meningkat selaras kenaikan inflasi global termasuk tenaga kerja dan harga tenaga yang lebih tinggi.
Katanya, kekurangan jururawat di kebanyakan pasaran juga telah menyebabkan peningkatan tekanan ke atas kos gaji, serta meletakkan had pada kapasiti katil.
"Walaupun tekanan inflasi yang tinggi, kumpulan itu tidak terganggu oleh sebarang potensi kelembapan dalam permintaan.
"IHH dapat melepaskan inflasi kos kepada pelanggan, seperti yang dicerminkan dalam peningkatan hasil bagi setiap pesakit sejak beberapa suku yang lalu," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham. - DagangNews.com