Pendapatan KLK bagi FY23 diunjur menurun kesan daripada harga minyak sawit mentah yang lemah | DagangNews Skip to main content

Pendapatan KLK bagi FY23 diunjur menurun kesan daripada harga minyak sawit mentah yang lemah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Pendapatan Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad bagi FY23 diunjurkan menurun walaupun dengan atau tanpa pegangan dalam syarikat yang berpangkalan di Uniited Kingdom (UK), Synthomer plc berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih lemah.

 

Kenanga Research berkata, selepas mengambil kira keputusan tahun penuh yang akan dikeluarkan pada 23 November 2022, keputusan bagi tahun kewangan FY22 adalah seperti jangkaan.

 

“Kami selesa dengan unjuran untung bersih teras FY22 sebanyak RM2.04 bilion.

 

"Pendapatan FY23 KLK dijangka menurun berikutan harga MSM yang lebih lemah dan harganya akan menurun daripada RM4,500 kepada RM4,000 satu tan pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, KLK dilaporkan sedang mempertimbangkan usaha untuk meningkatkan pegangan ekuiti sebanyak 21% di dalam Synthomer.

 

Firma itu berkata, perniagaan polimer getah Synthomer mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia dan KLK.

 

Katanya, Synthomer mungkin juga sebahagian daripada usaha penstrukturan semula yang melibatkan aset hiliran KLK yang lain.

 

"Ini boleh dilaksanakan secara awal atau dijalankan secara berperingkat dengan pengumpulan saham Synthomer sebagai batu loncatan.

 

"Unit hiliran yang disenaraikan secara berasingan boleh meminimumkan beberapa risiko dan mencipta nilai dalam jangka panjang," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM28.00 sesaham. - DagangNews.com