Pendapatan Pharmaniaga dijangka pulih pada FY21 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Pharmaniaga dijangka pulih pada FY21

Pharmaniaga

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Prestasi pendapatan syarikat Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga) dijangka pulih dengan ketara bagi tempoh tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada dua faktor utama yang memberi kelebihan kepada syarikat berkenaan.

 

"Normalisasi permintaan daripada institusi kesihatan kerajaan yang pastinya memberi kesan positif kepada segmen logistik & pengedaran (L&D) dan pembuatannya.

 

"Selain itu, permulaan vaksin COVID-19 Sinovac dijangka memberi sumbangan kepada Pharmaniaga bermula suku kedua tahun kewangan 2021," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bagi tempoh tahun kewangan 2020, Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM29.9 juta di bawah jangkaan pihak CGS-CIMB Research.

 

Keuntungan yang kurang memberangsangkan itu didorong oleh kerugian bersih yang tidak dijangka sebanyak RM3.8 juta pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

Kerugian tersebut disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah berbanding jangkaan daripada segmen pembuatan.

 

Selain itu, penjualan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam segmen L&D yang turut menyebabkan kerugian pada tempoh berkenaan.

 

"Kami meningkatkan saranan saham Pharmaniaga kepada 'tambah' berbanding 'pegang'.

 

"Harga sasaran sesaham (TP) pula diturunkan kepada RM4.60 sejajar dengan pemotongan pendapatan kami," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com