Pendapatan Press Metal Aluminium pada separuh kedua 2024 diramal lebih lemah kesan tekanan kos | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Press Metal Aluminium pada separuh kedua 2024 diramal lebih lemah kesan tekanan kos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Pendapatan Press Metal Aluminium Holdings Bhd pada separuh kedua tahun ini diramal lebih lemah kerana kumpulan itu berdepan beberapa tekanan kos disebabkan harga alumina yang dijangka meningkat sehingga suku keempat 2024.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sebahagiannya dilindungi oleh 25% pegangan bersekutu dalam syarikat penapiosan alumina, PT Bintan.

 

"Selain itu, Nanshan Aluminium, pemegang saham utama PT Bintan (97.7% urus niaga pertukaran pasca saham, tetapi Press Metal akan memiliki 25.59% Nanshan Aluminium), merancang untuk mengembangkan kapasiti penapisan alumina sebanyak 1 juta tan lagi.

 

"Bagaimanapun ia masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan untung bersih teras sebanyak RM516 juta untuk 2QFY24, mencerminkan peningkatan suku ke suku sebanyak 24% dan kenaikan tahun ke tahun sebanyak 65%.

 

Ia menjadikan pendapatan teras terkumpul bagi separuh pertama 2024 kepada RM933 juta, meningkat 54% daripada tempoh yang sama tahun lepas, bagaimanapun keputusan itu adalah di bawah ramalan. 

 

Firma penyelidikan itu melaraskan pendapatan FY24-FY26masing-masing sebanyak -18%/-6%/+12% selepas menyemak semula andaian harga spot aluminium kepada AS$2,450/AS$2,500/AS$2,550 bagi setiap tan.

 

Ia juga dibuat selepas pihaknya mengemas kini nisbah lindung nilai Press Metal sebanyak 40% @ AS$2,600 untuk FY24E, 35% @ AS$2,650 untuk FY25E dan 30% @ AS$2,700 untuk FY26 dan peningkatan dalam andaian kos logistik.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.70 sesaham.- DagangNews.com