Pendapatan, prospek TNB kekal teguh | DagangNews Skip to main content

Pendapatan, prospek TNB kekal teguh

Seluruh pengguna TNB, domestik dan bukan domestik juga akan menikmati pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh yang sama. - Gambar : Tenaga Nasional Berhad

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka merekodkan pendapatan yang stabil dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM12.90, menurut Maybank IB Research. 

 

Penganalisisnya, Tan Chi Wei berkata, walaupun terdapat kemungkinan dividen khas berkurangan, tetapi TNB masih menawarkan hasil yang lumayan daripada 5%.  

 

Ini berdasarkan kepada prospek masa depan TNB yang dilihat kukuh terutama tumpuan syarikat utiliti negara itu dalam tenaga boleh diperbaharui. 

 

Berpandukan analisis firma penyelidikan itu, dengan bermulanya operasi Jimah East, kepelbagaian Malaysia dalam loji arang batu bagi dekad sebelum itu sebenarnya telah berakhir. 

 

Operasi loji pada masa hadapan adalah berasaskan kepada gas atau tenaga solar. 

 

Tetapi, kos unit janakuasa bagi kedua-dua loji gas dan arang batu adalah masih tinggi berbanding arang batu, walaupun secara dasarnya ditanggung oleh pengguna menerusi kerangka kerja IBR. 

 

Dengan mengambil kira struktur perjanjian pembelian tenaga (PPA) di Malaysia, arang batu dijangka terus menonjol dalam loji janakuasa bercampur di Semenanjung Malaysia sekurang-kurangnya untuk dekad akan datang. 

 

Setakat ini, arang batu merangkumi lebih daripada 50% dalam janakuasa bercampur di Semenanjung Malaysia. 

 

Bagaimanapun, kebanyakan loji arang batu ini adalah baru dan menggunakan teknologi ultra-supercritical. 

 

Tambahan pula, kos untuk menginsuranskan arang batu ini telah meningkat 10 hingga 20% setahun sejak akhir-akhir ini. 

 

"Ini bermakna 'stigma arang batu' ini akan terus bersama TNB pada masa akan datang. 

 

"Jika tekanan seperti ini meningkat, TNB mungkin akan mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengembangannya dalam tenaga diperbaharui (ketika ini ia sudah mempunyai platform solar dan angin antarabangsa) atau berpotensi menggabungkan unit janakuasa," katanya.  

 

Bagi mengimbangi penjanaan, sebahagian besarnya adalah berasaskan gas yang mana masih merupakan bahan api fosil dan menyebabkan pelepasan karbon. 

 

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pula, TNB dilihat meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 20% tenaga boleh diperbaharui bercampur menjelang 2025,"

 

Dorongan terhadap tenaga boleh diperbaharui boleh dilihat dengan peningkatan penggunaan solar menerusi ladang atau bumbung solar. 

 

Kemudahan tenaga yang boleh diperbaharui pada skala besar seperti ladang solar dan empangan hidro memerlukan tanah (untuk ladang memerlukan 50MW dengan keluasan 200 ekar) dan ini boleh memberi kesan kepada biodiversiti tempatan. 

 

Di Semenanjung Malaysia, tidak ada tapak yang sesuai untuk empangan besar manakala ladar solar pula kebiasannya terletak di kawasan tanah pertanian yang kurang berguna.

 

Namun, dari perspektif pengoptimuman tanah, teknologi ini adalah lebih sesuai di atas bumbung. 

 

"Dengan insentif yang tepat, perniagaan panel pajakan TNB boleh memberi sumbangan yang lebih penting," jelas penganalisisnya. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

Berdasarkan kepada catatan harian pentabir, Chin Wei berkata, janakuasa di Semenanjung Malaysia sebahagian besarnya adalah stabil dari suku ke suku dan tahun ke tahun pada suku keempat 2020. 

 

Bagi tahun penuh 2020, penjanaan di Semenanjung Malaysia jatuh 4% tahun ke tahun.   

 

"Malah, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan semula kerajaan (pada Oktober di beberapa negeri) tidak memberi kesan yang besar kepada penggunaan elektrik. 

 

"Data permintaan belum lagi dikeluarkan, tetapi berada dalam aliran mengikut pandangan kami," katanya. 

 

Mengenai rebat tarif pula, beliau berkata, tarif bersih dijadualkan turun sebanyak 5.1% hingga 37.45sen/kWh mulai Januari 2021. 

 

"Pada pandangan kami, rebat ini akan memberi kelegaan bagi pengurangan tarif seterusnya tahun ini. Perlu diingat, TNB telah menanggung sebahagian pengurangan tarif ini pada 2020," katanya. 

 

Pada 23 Disember lalu, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan kadar tarif elektrik asas TNB pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

 

Seluruh pengguna TNB, domestik dan bukan domestik juga akan menikmati pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh yang sama. 

 

Bagi tempoh 9 bulan tahun kewangan 2020, keuntungan TNB merosot 37.5% kepada RM2.41 bilion berbanding RM3.86 bilion dalam tempoh sama pada 2019.

 

Keuntungan lebih rendah itu dicatat berikutan penutupan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19 sehingga menyebabkan jualan elektrik berkurangan. 

 

Keadaan ini disebabkan kesan daripada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 sebanyak RM595.1 juta, serta kerugian tukaran mata wang asing yang belum terealisasi sebanyak RM174.3 juta.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pada suku ketiga berakhir 30 September 2020, permintaan dan penjualan elektrik meningkat berbanding pada suku sebelumnya kerana sebahagian besar sektor industri dan komersial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).- DagangNews.com