Pendapatan sektor telekomunikasi diunjur susut pada FY24 akibat saingan sengit dalam pasaran - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan sektor telekomunikasi diunjur susut pada FY24 akibat saingan sengit dalam pasaran - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pendapatan sektor telekomunikasi mencatatkan penyusutan pada FY24 akibat saingan sengit di dalam pasaran.

 

Katanya, untung bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka menyusut 10% kepada RM1.7 bilion pada FY24 kesan daripada normalisasi kadar cukai.

 

"Selain itu, kami juga menjangkakan syarikat telekomunikasi lain mencatatkan pendapatan yang mendatar kesan daripada saingan sengit dan pada masa sama terdapat risiko kawal selia kerana kerajaan mendesak sambungan mudah alih pada harga yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih agregat sektor itu hanya meningkat 1% pada 2023 hasil daripada pendapatan kukuh TM dan Maxis Bhd yang diimbangi  hasil yang lebih lemah daripada CelcomDigi Bhd dan Axiata Group Bhd.

 

Katanya, pendapatan CelcomDigi dan Axiata mengalami penyusutan pada 4QFY23 ditambah dengan kos operasi yang lebih tinggi mengakibatkan kejatuhan dari segi untung bersih.

 

"Kami mengaitkan keadaan ini dengan kos operasi yang lebih tinggi berpunca daripada peningkatan kos spektrum, perisian dan utiliti.
 

"Dalam pada itu, pendapatan teras TM melonjak 64% pada FY23 disebabkan caj cukai positif sebanyak RM77 juta hasil daripada pengiktirafan kredit cukai," katanya.

 

Sementara itu, TM mengekalkan kedudukannya selaku peneraju pasaran dalam segmen jalur lebar pada FY23 dengan 3.1 juta pelanggan Unifi diikuti Maxis ndegan 750,000 pelanggan dan CelcomDigi (131,000 pelanggan).

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap sektor itu disebabkan ketidakpastian kemajuan rancangan perniagaan rangkaian borong dwi (DWN) 5G, kekurangan pemacu pertumbuhan dan kos operasi tinggi akibat daripada penyelenggaraan teknologi yang berterusan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu dan mengulangi saranan 'beli' untuk TM  kerana ia dijangka menikmati hasil lebih tinggi daripada pelancaran 5G dan permintaan daripada pusat data," katanya. - DagangNews.com