Pendapatan teras Axis REIT bagi FY22 berada dalam unjuran MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras Axis REIT bagi FY22 berada dalam unjuran MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Pendapatan teras Axis Real Estate Investment Trust (REIT) bagi FY22 sebanyak RM156.5 juta mencapai unjuran MIDF Research sebanyak 100% dan 97% unjuran konsensus tahun penuh.

 

Bagaimanaun, firma itu berkata, pendapatan teras bersih 4QFY22 adalah rendah sebanyak RM35 juta (-11.7% dari bulan ke bulan) kerana sebahagiannya disebabkan oleh kos pembiayaan Islam yang lebih tinggi.

 

Katanya, pendapatan bersih teras 4QFY22 meningkat kepada RM35 juta (+8.6% dari tahun ke tahun), menjadikan pendapatan bersih teras terkumpul kepada RM156.5 juta (+18.05% dari tahun ke tahun) pada FY22.

 

"Pendapatan yang lebih kukuh pada FY22 disokong oleh sumbangan sewa daripada aset yang baru diperoleh dan pengembalian sewa yang positif.

 

"Axis REIT memperoleh empat hartanah perindustrian pada FY22, menjadikan saiz portfolio kepada 62 hartanah selain penghunian portfolio mereka kekal stabil pada 95% setakat Disember 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23 selain kekal positif dengan prospek Axis REIT didorong pengembalian sewa yang positif kerana permintaan untuk ruang industri kekal stabil.

 

"Perkembangan pendapatan dijangka disokong oleh pengambilalihan aset dan ruang industri," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham.

 

"Kami kekal positif dengan Axis REIT kerana pendedahannya terhadap aset perindustrian dan segmen industri dijangka menunjukkan prestasi yang stabil pada masa hadapan berikutan permintaan kukuh," katanya. - DagangNews.com