Pendapatan teras Mi Technovation bagi 1QFY24 selaras unjuran PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras Mi Technovation bagi 1QFY24 selaras unjuran PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pendapatan teras Mi Technovation Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) adalah selaras dengan unjuran Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) dan jangkaan consensus setahun, masing-masing membentuk 22.6% dan 23.4%.

 

Katanya, kumpulan itu menyaksikan pendapatan teras 1QFY24 melonjak 117.5% dari tahun ke tahun (YoY) kepada RM17.4 juta tidak termasuk kesan keuntungan tukaran asing sebanyak RM10.5 juta dan kerugian daripada kepentingan minoriti sebanyak 90% -milik Mi Equipment Korea (RM400,000).

 

"Kerugian daripada operasi Korea menyusut dengan ketara dan kami percaya kumpulan itu berjaya menghantar peralatan bantuan laser.

 

"Bagaimanapun, kami menyemak turun unjuran antara 7%-9% bagi FY24-FY26 selepas mengambil kira pendirian yang lebih konservatif terhadap penghantaran peralatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.67 sesaham.

 

Sementara itu, margin keuntungan operasi syarikat berkembang daripada 14% kepada 20.8% disebabkan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi.

 

PublicInvest berkata, syarikat itu menanggung kos permulaan kecil sebanyak RM300,000 untuk unit perniagaan baharu, pejabat perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU) yang terlibat dalam modul kuasa tinggi dan peranti untuk aplikasi jurang jalur lebar dalam automotif dan segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) di Hangzhou, China. 

 

Hasil 1QFY24 Mi Technovation melonjak 40% YoY, disebabkan oleh jualan yang lebih kukuh daripada segmen unit perniagaan peralatan (SEBU) dan unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU).

 

Jualan SEBU melonjak 56.8% kepada RM61.3 juta, mungkin disebabkan oleh tempahan kukuh untuk Siri Mi di Malaysia dan lebih banyak penghantaran peralatan Siri Si di China untuk 30.75% milik Talentek Microelectronics (Hefei), iaitu pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan ujian untuk industri telefon pintar.

 

Sebaliknya, jualan SMBU meningkat 21.5% YoY kepada RM45.8 juta didorong oleh peningkatan jualan daripada Accurus Taiwan dan Accurus China. - DagangNews.com