Penerima vaksin PPV pandu lalu OKU ditambah kepada 40,000 | DagangNews Skip to main content

Penerima vaksin PPV pandu lalu OKU ditambah kepada 40,000

Adham Baba ketika membuat tinjauan ke PPV OKU di Ara Damansara semalam.

Adham Baba  ketika membuat tinjauan ke PPV OKU di Ara Damansara semalam.

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Jumlah penerima vaksin yang melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu kendalian OKU Sentral ditambah kepada 40,000 penerima bagi tempoh lima bulan akan datang.

 

Pengerusi OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, kapasiti penerima itu ditambah selepas mendapat permintaan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika membuat tinjauan ke PPV pandu lalu itu di Ara Damansara semalam.

 

Terdahulu, hanya 13,500 penerima dalam kalangan OKU dijangka akan menerima vaksin di PPV berkenaan.

 

"Kami dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa menteri berkenaan berkata beliau gembira dengan keupayaan kami mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan melaksanakan program imunisasi untuk OKU.

 

“Kami juga dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa menteri berkenaan juga telah meminta agar kami meningkatkan kapasiti di fasiliti vaksinasi pandu lalu pertama negara untuk OKU dan pada minggu-minggu akan datang, kami akan berusaha meningkatkan kapasiti kami kepada 400 orang sehari,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

PPV pandu lalu kendalian OKU Sentral itu memulakan program vaksinasinya semalam melibatkan 80 dos sehari sehingga Jumaat ini.

 

Jumlah tersebut bagaimanapun akan meningkat kepada 160 hingga 200 dos sehari mulai 21 Jun dan seterusnya bagi tempoh lima bulan akan datang.

 

Pelaksanaan vaksinasi di PPV tersebut dibuat berdasarkan pendaftaran yang diterima oleh OKU Sentral, yang menyaksikan sejumlah 13,500 OKU akan menerima janji temu masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera.

 

Pendaftaran melalui Google Form OKU Sentral bagi vaksinasi kali ini sudah ditutup dan akan dibuka semula dalam masa terdekat bagi mencapai sasaran baharu untuk memberikan 40,000 suntikan dalam tempoh lima bulan akan datang. - DagangNews.com