Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Firma penyelidikan ekonomi negara, MIDF Research dan CGS-CIMB Research masing-masing membuat saranan berbeza terhadap saham syarikat penghantaran kapal tangki, MISC Berhad (MISC).
MIDF Research mengambil pendekatan menurunkan saranan 'beli' kepada 'neutral' terhadap saham MISC, manakala CGS-CIMB Research pula membuat saranan 'pegang'.
MIDF Research berkata, saranan tersebut dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa kapal tangki petroleum yang berada pada tahap yang rendah.
"Kami yakin kadar tangki petroleum akan kekal berada pada tahap yang rendah kecuali pemulihan permintaan minyak yang ketara di seluruh dunia selepas tempoh wabak.
"Lebih-lebih lagi, prospek bagi segmen gas cecair asli (LNG) yang semakin berkurang menambah kebimbangan kami untuk kumpulan ini.
"Kami menurunkan saranan kami daripada 'beli' kepada 'neutral'," jelas MIDF Research.
Bagi tempoh suku ketiga 2020, MISC mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM260.4 juta, menurun sebanyak 3.9% berbanding tahun sebelumnya.
Hasil kewangan yang lemah untuk tempoh berkenaan didorong oleh pendapatan yang lebih rendah dalam segmen petroleum dan LNG berikutan aktiviti dok kering dan masa piagam yang lebih rendah.
Selain itu, salah sebuah kapal syarikat berkenaan yang terlibat dengan kes COVID-19 buat seketika turut mempengaruhi keseluruhan pendapatan syarikat.
Tambah MIDF Research, pihaknya menjangkakan segmen petroleum akan terus mencatatkan prestasi yang lebih rendah dalam tempoh suku keempat 2020.
Sementara itu, CGS-CIMB Research yang membuat saranan 'pegang' saham MISC memberitahu, prospek MISC dilihat mampu meningkat pada separuh kedua tahun kewangan 2021.
Perkara itu dinilai dengan anggapan penyediaan vaksin COVID-19 secara meluas di seluruh dunia pada pertengahan 2021.
"Perkara itu mampu memulihkan jumlah perjalanan udara dan darat, meningkatkan permintaan bahan bakar pengangkutan dan mendorong kilang untuk mengimport lebih banyak minyak mentah untuk diproses menjadi pelbagai produk minyak seperti petrol, diesel dan bahan bakar jet," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com