Penganalisis ekonomi naikkan harga sasaran BAT Malaysia selepas keputusan FY22 memenuhi anggaran | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ekonomi naikkan harga sasaran BAT Malaysia selepas keputusan FY22 memenuhi anggaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dan Kenanga Research menaikkan harga sasaran (TP) untuk British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) selepas keputusan kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) memenuhi anggaran mereka.

 

Penganalisis HLIB, Sam Jun Kit menaikkan TP BAT Malaysia kepada RM12.35 daripada RM12.08 sebelum ini, ketika melancarkan tahun asas penilaian kepada FY23 berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) tidak berubah (WACC: 9.5%; TG: 0.0%).

 

"Bagaimanapun, kami menurunkan penarafan BAT kepada 'pegang' (daripada 'beli') disebabkan peningkatan terhad berikutan kenaikan harga sahamnya baru-baru ini (naik 23% sejak naik taraf terakhir kami pada 18 November 2022)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Katanya, langkah yang diperkenalkan kerajaan terdahulu untuk mengekang rokok haram, jika dikekalkan dalam Bajet 2023 baharu, akan membantu BAT Malaysia mencapai jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

"Pelaksanaan GEG (Dasar Generasi Penamat) dijangka ditangguhkan kerana Rang Undang-undang Tembakau perlu dimulakan semula dari bacaan pertama di Dewan Rakyat dan ia aka lebih lambat sekiranya berlaku sebarang pindaan," katanya.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research Jack Lai Yuan Khai menaikkan TP BAT Malaysia kepada RM12 daripada RM11.45, sambil mengekalkan saranan 'market perform'.

 

"Walaupun saham mungkin menarik kerana hasil dividennya yang tinggi sebanyak 7.7%, kami juga melihat prospek terhad memandangkan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat," katanya.

 

Beliau menjangkakan jumlah jualan akan berterusan menjelang FY23 tetapi tetap berhati-hati memandangkan trend berterusan penurunan dagangan dalam pasaran. 

 

Katanya, jika inflasi terus menjejaskan perbelanjaan pengguna ia juga akan memberi kesan kepada kumpulan itu.

 

"Memandangkan kumpulan itu menguasai bahagian terbesar dalam segmen premium, jenama Dunhill mungkin berisiko kehilangan volum jika sentimen pengguna bertambah buruk," katanya.

 

Katanya, walaupun Bajet 2023 akan dibentangkan semula tidak lama lagi, kumpulan itu sebahagian besarnya positif terhadap langkah yang dicadangkan sebelum ini termasuk pemberian subsidi dan pemberian tunai yang akan menyokong perbelanjaan pengguna.

 

"Kumpulan itu juga tidak bimbang dengan GEG kerana ia akan dibentangkan semula tetapi bukan dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com