Penganalisis rendahkan ramalan keuntungan Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

Penganalisis rendahkan ramalan keuntungan Pharmaniaga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Penganalisis menurunkan ramalan keuntungan bersih tahun kewangan 2020 (FY20) syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga Berhad disebabkan oleh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada suku keempat 2020 (4Q20). 

 

MIDF Research menurunkan ramalan itu sebanyak -30.0% kepada RM55.3 juta di mana sekatan pergerakan staf penjualan dan penangguhan penghantaran produk bakal menjejaskan hasil syarikat.

 

“Susulan itu, kami juga mengubah semula jangkaan dividen FY20 kepada 11.7 sen berikutan perubahan ramalan itu. 

 

“Bagaimanapun, kami tidak mengubah perolehan FY21 ketika ini untuk menunggu makluman penganalisis yang diadakan pagi ini,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Perolehan 3Q20 Pharmaniaga mencatatkan nilai RM1.1 juta menjadikan nilai kumulatif sembilan bulan tahun kewangan 2020 (9M20) kepada RM32.8 juta. 

 

Nilai itu jatuh jauh di bawah ramalan yang dibuat MIDF. 

 

Pada suku tahun berkenaan, hasil Pharmaniaga jatuh sebanyak -12.8% kepada RM624.8 juta didorong oleh kemerosotan permintaan bagi kedua-dua konsesi perniagaan dan di Indonesia susulan pandemik COVID-19. 

 

Bagi CGS-CIMB Research, walaupun kumpulan syarikat itu berjaya meletakkan ‘sebelah kaki’ dalam projek pembangunan serta pengisian dan penyelesaian vaksin COVID-19, namun sumbangan perolehan projek itu hanya berlaku pada tempoh jangka masa panjang.

 

“Ketika prospek jangka panjang Pharmaniaga nampak menarik, kami fikir penilaian terkini syarikat itu tetap tinggi,” tambah CGS-CIMB. 

 

Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan Pharmaniaga bakal menyaksikan perolehan syarikat melonjak antara 3.4% hingga 7.4% atau dalam lingkungan RM2.77 juta hingga RM6.04 juta menjelang tahun kewangan 2021 (FY21) didorong penemuan awal vaksin COVID-19. 

 

Baca : Vaksin COVID-19: Pharmaniaga dijangka raih hingga RM6.04 juta perolehan FY21

 

Bagaimanapun, perolehan itu bergantung kepada bagaimana vaksin itu akan diberikan serta jenis bekas yang diperlukan. 

 

Pharmaniaga difahamkan memerlukan pelaburan perbelanjaan modal sehingga RM2 juta untuk menaik taraf kilang suntikan isipadu kecil (SVI) bagi proses pengisian dan penyelesaian vaksin COVID-19. - DagangNews.com