KUALA LUMPUR 9 Sept – Penganggur pada bulan Julai terus berkurang kepada 563,700 orang, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Julai 2024.
Statistik terbaharu ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.
Mengulas prestasi keseluruhan bagi bulan Julai 2024, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal stabil, susulan kedudukan ekonomi negara yang semakin berkembang pesat, merekodkan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan.
Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Julai 2024 terus bertambah dengan merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.20 juta orang (Jun 2024: 17.17 juta orang).
Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.4 peratus seperti pada bulan Jun 2024.
Bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada bulan Julai 2024 sebanyak 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang (Jun 2024: 16.61 juta orang).
Sementara itu, bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 0.3 peratus kepada 563.7 ribu orang berbanding 565.3 ribu orang yang direkodkan pada bulan Jun 2024.
Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.3 peratus seperti bulan sebelumnya.
Dr Mohd Uzir berkata, pada Julai 2024, sebahagian besar penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75.0 peratus.
Kategori ini naik sebanyak 0.1 peratus kepada 12.48 juta orang (Jun 2024: 12.46 juta orang). Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal dalam trend meningkat, bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 3.07 juta orang (Jun 2024: 3.06 juta orang).
Mengikut sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti Perkhidmatan makanan & minuman; Perdagangan borong & runcit; dan Pengangkutan & penyimpanan.
Begitu juga, sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & pengkuarian serta Pertanian turut mencatatkan trend positif dalam bilangan guna tenaga.
"Mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif meliputi 80.0 peratus daripada jumlah penganggur. Kategori ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 450.7 ribu orang (Jun 2024: 451.9 ribu orang)," kata Dr Mohd Uzir lagi.
Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.5 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.9 peratus.
Begitu juga, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turun sebanyak 0.4 peratus kepada 113.0 ribu orang (Jun 2024: 113.4 ribu orang).
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada bulan Julai 2024 tidak berubah iaitu pada 10.5 peratus dengan bilangan penganggur belia seramai 304.5 ribu orang (Jun 2024: 10.5%; 305.0 ribu orang).
Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun juga kekal pada 6.5 peratus, merekodkan 433.1 ribu penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (Jun 2024: 6.5%; 434.2 ribu orang).
Bagi mereka yang tidak berada dalam tenaga buruh, bilangan penduduk di luar tenaga buruh turun sedikit iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang pada bulan Julai 2024 (Jun 2024: 7.23 juta orang).
Komposisi utama bagi luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga, merangkumi 42.8 peratus, manakala bersekolah/ latihan berada di kedudukan kedua dengan 41.4 peratus. - DagangNews.com