Pengangguran golongan muda membimbangkan, dijangka terus meningkat - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pengangguran golongan muda membimbangkan, dijangka terus meningkat - Penganalisis

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Firma penyelidikan menyifatkan kadar pengangguran bagi golongan muda yang kekal tinggi membimbangkan dan ini menunjukkan bahawa kumpulan itu paling lama ‘bergelut’ akibat pandemik COVID-19. 

 

Mengambil kira langkah sekatan pergerakan semasa, Kenanga Research tidak menolak kemungkinan kadar pengangguran dalam kalangan golongan muda akan terus meningkat bagi tempoh masa terdekat ini. 

 

“Kadar pengangguran mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun adalah pada 13.6% bagi Mei 2021 (April : 13.7%). Situasi ini membimbangkan dan menterjemahkan kesan pandemik COVID-19 dan langkah pencegahan ke atas kumpulan yang paling rentan dan telah lama ‘bergelut’ itu.

 

“Memandangkan ‘lockdown’ dilanjutkan dan terdapat ketidaktentuan akibat pandemik, ditambah isu politik domestik yang memuncak, kami menjangkakan pengangguran golongan muda akan terus meningkat dalam masa terdekat ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

Kenanga mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 4.3% bagi sepanjang tahun ini.

 

Kadar pengangguran pada Mei menurun sedikit tetapi bilangan penganggur masih kekal melebihi 700,000 orang. 

 

Baca : Kadar pengangguran turun sedikit, penganggur masih lebih 700,000

 

Pada bulan tersebut menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran hanya menyusut 0.1% kepada 4.5% berbanding 4.6% pada April 2021.

 

“Walaupun lanjutan ‘lockdown’ di seluruh negara dijangka menjejaskan pasaran buruh dalam masa terdekat, namun kami masih menekankan pandangan kami bahawa kadar pengangguran akan bertambah baik menjelang hujung tahun ini sejajar dengan Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

“Dalam masa sama, pasaran buruh akan disokong oleh perkembangan vaksinasi, pakej fiskal besar yang masih berjalan, pengembangan sektor pembuatan dan permintaan yang tertunggak dipacu oleh pembukaan semula ekonomi,” tambah Kenanga lanjut.

 

Seiring unjuran sepanjang tahun firma penyelidikan itu, MIDF Research turut membuat ramalan kadar pengangguran 4.3% pada 2021. 

 

Malah, kadar itu dijangka meningkat pada pertengahan tahun ini kesan daripada penguatkuasaan ‘lockdown’ yang masih berterusan, di mana menyebabkan penutupan aktiviti perniagaan bukan perlu, sekali gus mengehadkan perbelanjaan domestik.

 

MIDF Research yang memetik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati sebanyak 5,621 individu hilang pekerjaan pada Jun 2021, lebih tinggi berbanding Mei 2021 iaitu 3,727.

 

“Ini menunjukkan bahawa lebih ramai yang hilang pekerjaan dicatatkan pada Jun akibat ‘lockdown’, terutamanya perbelanjaan domestik lebih lemah menyebabkan pengambilan pekerjaan dikurangkan dalam sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

 

“Jumlah jangkitan COVID-19 yang kekal tinggi terus menjadi kebimbangan utama yang akan melemahkan lagi pasaran buruh, terutamanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Selangor dan Kuala Lumpur yang menyebabkan lebih banyak perniagaan ditutup, menjejaskan sub sektor dalam pembuatan termasuk sektor yang berorientasikan perdagangan,” tambah MIDF lanjut. 

 

Pada separuh kedua tahun ini, MIDF menjangkakan pasaran buruh akan bertambah baik apabila sekatan mula dilonggarkan, seterusnya membolehkan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi. 

 

Sekiranya kes COVID-19 kekal tinggi, kelewatan untuk ‘keluar’ daripada penguatkuasaan ‘lockdown’ akan mendatangkan risiko penurunan kepada unjuran kadar pengangguran oleh MIDF.  - DagangNews.com