Pengeluaran buah tandan segar terjejas, MIDF Research kekal 'neutral' terhadap TSH Resources | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar terjejas, MIDF Research kekal 'neutral' terhadap TSH Resources

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap TSH Resources Bhd walaupun kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca kering yang menjejaskan pengeluaran buah tandan segar (BTS).

 

Katanya, menjelang suku kedua tahun ini, kumpulan itu dijangka terus berdepan cabaran terutamanya disebabkan turun naik harga minyak sawit mentah (MSM).

 

Firma penyelidikan tu berkata, peralihan kitaran tanaman akan menyebabkan ketidaktentuan harga MSM apabila bekalan semakin berkurangan di dalam pasaran.

 

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, prestasi kumpulan itu bertahan dengan baik dalam menghadapi keadaan buruk dan perniagaan mereka kekal berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, keuntungan subsegmen perladangan secara relatifnya tidak berubah pada RM231.8 juta (-0.6%), disebabkan oleh purata harga jualan MSM yang lebih tinggi direalisasikan berjumlah RM3,587 setiap tan dan isirung kelapa sawit (PK) RM2,930 bagi setiap tan dengan kos pengeluaran yang lebih rendah.

 

Selain itu, keuntungan juga dipengaruhi oleh faktor bermusim yang rendah, di mana pengeluaran BTS yang lebih rendah dan penurunan dalam jumlah jualan MSM dan PK didaftarkan, ditambah lagi dengan sumbangan yang lebih lemah daripada syarikat bersekutu dan usaha sama.

 

"Bagaimanapun, di sebalik cabaran ini, margin bagi segmen itu kekal sihat pada 19.9% sejajar dengan kos pengeluaran yang stabil.

 

"Kerugian dalam segmen lain terus melebar kepada RM3.8 juta seiring dengna jualan yang lebih rendah daripada bahagian perkayuan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham," katanya. - DagangNews.com