KUALA LUMPUR 4 Jun - Pengeluaran gas asli Malaysia meningkat 9.1 peratus pada suku pertama 2024 kepada 799.8 bilion kaki padu berbanding dengan 733.3 bilion kaki padu pada suku yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu bagaimanapun diimbangi penurunan marginal pengeluaran minyak mentah dan kondensat yang susut 0.5 peratus kepada 48 juta tong pada suku pertama 2024.
"Penguncupan ini disebabkan oleh kemerosotan sebanyak 5.8 peratus dalam pengeluaran minyak mentah kepada 33.2 juta tong, meliputi 69.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Namun begitu, pengeluaran kondensat kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 14 peratus berbanding dengan pertumbuhan 17 peratus pada suku sebelumnya," katanya dalam laporan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli Suku Pertama 2024 yang dikeluarkan hari ini.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pengeluaran minyak mentah dan kondensat menurun 2.3 peratus berbanding dengan pertumbuhan 7.0 peratus pada suku keempat 2023.
Secara keseluruhan, harga minyak mentah dan kondensat mengalami penurunan sejak suku ketiga 2023.
Harga purata 'lifting' berpemberat (WALP) berada pada AS$86.9 setong pada suku pertama 2024, manakala harga setiap tong bagi WTI dan Brent masing-masing pada AS$77.6 setong dan AS$83 setong.
Menjelaskan mengenai prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata, nilai eksport minyak mentah dan kondensat berada pada RM9.1 bilion pada suku pertama 2024 dengan Thailand menjadi destinasi utama, merekodkan nilai eksport RM2.4 bilion atau 26.4 peratus, diikuti oleh Jepun (26.2 peratus) dan India (14.4 peratus).
Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM33.6 bilion pada suku dikaji.
"Singapura adalah negara destinasi utama dengan sumbangan 22.1 peratus, diikuti oleh Indonesia (18.7 peratus) dan Australia (15 peratus)," katanya.
Eksport gas asli cecair (LNG), mencatatkan nilai sebanyak RM18.5 bilion, dengan sejumlah RM8.2 bilion atau 44.5 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh China (25.2 peratus) dan Republik Korea (22.0 peratus).
"Nilai import minyak mentah dan kondensat berkurang kepada RM15.7 bilion untuk suku pertama 2024 berbanding RM18.1 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2023, yang mana sebanyak 45.5 peratus diimport dari Arab Saudi, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu atau UAE (23.6 peratus) dan Gabon (lima peratus).
"Sementara itu, nilai import keluaran petroleum bertapis dan LNG mencatatkan peningkatan untuk suku ini, masing-masing mencecah RM37.5 bilion dan RM2.8 bilion.
"Nilai import keluaran petroleum bertapis yang tertinggi adalah dari Singapura merangkumi 29.5 peratus, diikuti oleh China (11.7 peratus) dan Korea Selatan (11.2 peratus). Mengenai import LNG, adalah dari Australia dengan nilai sebanyak RM2.8 bilion pada suku pertama 2024," tambah Mohd Uzir. - DagangNews.com