Pengeluaran getah asli catat peningkatan 16.8% pada Jun 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli catat peningkatan 16.8% pada Jun 2024 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengeluaran getah asli meningkat 16.8% pada Jun 2024 kepada 29,914 tan metrik berbanding 25,608 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli naik 0.2% (Jun 2023: 29,867 tan metrik). 

 

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun 2024 disumbangkan sektor pekebun kecil (87.6%) berbanding sektor estet (12.4%).

 

Beliau berkata, jumlah stok getah asli pada Jun 2024 susut 8.5% kepada 160,535 tan metrik berbanding 175,381 tan metrik pada Mei 2024. 

 

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.1% diikuti kilang pengguna getah (9.8%) dan estet getah (0.1%).

 

dosm

 

Katanya, eksport getah asli Malaysia berjumlah 39,800 tan metrik pada Jun 2024, susut 21.6% berbanding Mei 2024 (50,798 tan metrik). 

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 35.7% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2024 diikuti Jerman (11.8%), India (11%), Emiriah Arab Bersatu (6.6%) dan Amerika Syarikat (6.2%). Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. 

 

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.23 bilion pada Jun 2024, menurun 1.7% berbanding Mei 2024 (RM1.25 bilion)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 4.4% (Jun 2024: 755.19 sen sekilogram; Mei 2024: 742.36 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 7.7% (Jun 2024: 707.51 sen sekilogram; Mei 2024: 657.16 sen sekilogram). 

 

Beliau berkata, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menigkat antara 3.3% hingga 4.4%.

 

"Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2024  pula mencatatkan penurunan 0.8% berbanding suku kedua 2023 (77,453 tan metrik).

 

"Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Jun 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bergerak dengan aliran menurun ditambah dengan data ekonomi China yang lemah. 

 

"Sentimen pasaran juga dilemahkan oleh tarif baharu oleh Kesatuan Eropah ke atas China serta kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang tidak berubah. Sentimen global juga terjejas oleh permintaan lemah yang berterusan terutama dari China serta ketidaktentuan dasar kewangan AS," katanya. - DagangNews.com