Pengeluaran getah asli Malaysia susut 10.3% kepada 31,975 tan pada Oktober 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia susut 10.3% kepada 31,975 tan pada Oktober 2022 - DOSM

KUALA LUMPUR 14 Dis - Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia menurun 10.3% kepada 31,795 tan pada Oktober 2022 berbanding 35,460 tan pada September 2022.

 

Jabatan Perangkaan berkata, output NR turut menunjukkan penurunan 26.3% tahun ke tahun daripada 43,127 tan pada Oktober 2021.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor pekebun kecil menyumbang 87.8% daripada pengeluaran manakala sektor estet sebanyak 12.2%.

 

Jumlah stok NR pada Oktober 2022 merosot 0.3% kepada 198,122 tan pada Oktober 2022 berbanding 198,706 tan pada bulan sebelumnya.

 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kilang pemproses getah menyumbang sebanyak 90.8% diikuti kilang pengguna getah (9.1%) dan estet getah (0.1%).

 

Katanya, eksport NR Malaysia berjumlah 41,548 tan pada Oktober 2022 yang merosot 23.8% berbanding 54,542 tan pada September 2022.

 

China kekal sebagai destinasi utama bagi eksport NR iaitu 56.2% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2022, diikuti Jerman (8.2%), Brazil (3.3%), Finland (3.2%) dan Iran (3.0%).

 

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.1 bilion pada Oktober 2022, berkurangan 13.2% berbanding RM1.3 bilion pada September 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan 2.2% kepada 466.42 sen sekilogram pada Oktober 2022 daripada 476.76 sen sekilogram pada bulan sebelumnya manakala sekerap meningkat 1.2% kepada 471.29 sen sekilogram daripada 465.86 sen sekilogram sebelum ini.

 

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia menurun antara 0.6 hingga 2.1%. - DagangNews.com