Pengeluaran getah asli menurun 20.9% pada April 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli menurun 20.9% pada April 2024 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pengeluaran getah asli menurun 20.9% pada April 2024 kepada 21,325 tan metrik berbanding 26,966 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 9.1% (April 2023: 23,460 tan metrik). 

 

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada April 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.1%) berbanding sektor estet (10.9%).

 

Beliau berkata, jumlah stok getah asli pada April  2024 susut 5.1% kepada 211,119 tan metrik berbanding 222,455 tan metrik pada Mac 2024. 

 

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4% diikuti kilang pengguna getah (7.5%) dan estet getah (0.1%).

 

dosm

 

Katanya, eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,796 tan metrik pada Mac 2024, susut 18.9% berbanding Mac 2024 (58,965 tan metrik). 

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 44.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2024 diikuti India (11.4%), Jerman (8.0%), Emiriah Arab Bersatu (4.3%) dan Pakistan (3.9%). Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. 

 

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.09 billion pada April 2024, menurun 3.8 peratus berbanding Mac 2024 (RM1.14 billion)," katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 0.9% (April 2024: 733.58 sen sekilogram; Mac 2024: 740.37 sen sekilogram) manakala Sekerap susut 0.1% (April 2024: 639.62 sen sekilogram; Mac 2024: 650.54 sen sekilogram). 

 

Beliau berkata, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 0.3% hingga 0.9%.

 

"Pasaran getah asli semakin berkurang berikutan keadaan cuaca di kebanyakan negara pengeluar utama. 

 

"Namun demikian, data ekonomi China yang merangsangkan, ringgit lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta ramalan ekonomi yang stabil oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut memberi sokongan kepada sentimen pasaran," katanya. - DagangNews.com