Pengeluaran perindustrian Malaysia ketika ini bergantung kepada permintaan global | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran perindustrian Malaysia ketika ini bergantung kepada permintaan global

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat di beberapa buah negara termasuk Malaysia, sebarang kelemahan daripada permintaan luaran akan menjejaskan prospek pengeluaran negara. 

 

Namun, bagi MIDF Research, pemulihan dalam permintaan global akan membantu menyokong aktiviti sektor perdagangan Malaysia.

 

“Kami juga berhati-hati terhadap kekangan rantaian bekalan yang akan mengehadkan pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

“Lanjutan ‘lockdown’ dan kes COVID-19 yang terus tinggi menjadi kebimbangan utama memandangkan kelewatan kelonggaran penguatkuasaan itu meningkatkan risiko penurunan kepada prospek pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP). 

 

“Walaupun pertumbuhan IPP yang sederhana pada Mei 2021 seiring unjuran kami, namun aktiviti pengeluaran pada pertengahan tahun ini dijangka lemah ekoran ‘lockdown’ dan kesan asas yang semakin hilang mencerminkan kadar pemulihan dalam IPP tahun ini akan menjadi lebih lemah daripada jangkaan,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

MIDF turut menzahirkan kebimbangan terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Selangor, yang seterusnya bakal menjejaskan aktiviti pembuatan berorientasikan dagangan.

 

Secara keseluruhannya, MIDF masih melihat IPP akan berkembang pada tahun ini, pulih daripada kemerosotan pada tahun lalu memandangkan permintaan global yang pulih akan menyokong eksport komoditi dan kekurangan cip global akan menyediakan peluang pertumbuhan buat pemain industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia. 

 

Mengambil kira semua unjuran dan faktor itu, MIDF mengunjurkan IPP berkembang pada kadar yang sederhana iaitu 9% pada tahun ini, disemak turun daripada ramalan sebelum ini, 12.8%.

 

Sementara itu, AmBank Research melihat pertumbuhan yang kukuh dalam kedua-dua indikator ekonomi iaitu IPP serta nilai jualan perdagangan borong dan runcit disebabkan oleh asas rendah semasa pandemik pertama pada tahun lalu. 

 

“Dalam pada itu, pertumbuhan ekonomi pada Jun dijangka akan menjadi sedikit lemah dengan risiko penurunan masih ada ekoran penguatkuasaan PKPD. 

 

“Bagi sepanjang tahun 2021, kami mengunjurkan pertumbuhan (ekonomi) sekitar 4.0% hingga 4.5%. Ini bergantung kepada pengurusan pandemik dan kadar vaksinasi,” jelas firma itu. - DagangNews.com