Pengeluaran sarung tangan Hartalega dijangka meningkat 3 kali ganda | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran sarung tangan Hartalega dijangka meningkat 3 kali ganda

Hartalega Holdings Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mac. - Pengeluaran sarung tangan getah syarikat Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 175 bilion keping menjelang 2040.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan rancangan syarikat berkenaan untuk membina 16 kilang pengeluaran baharu.

 

"Hartalega merancang untuk membina 16 kilang baharu di Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan nilai pelaburan RM7 bilion yang mampu menghasilkan kira-kira 80 bilion keping sarung tangan.

 

"Loji pertama dijangka akan siap pada 2024 dan merancang untuk membina satu kilang setiap tahun dalam tempoh 15 tahun ke hadapan.

 

"Dengan mengambil kira kapasiti daripada NCG 1.5 dan NCG 2.0, jumlah kapasiti pengeluaran sarung tangan getah secara tahunan syarikat berkenaan dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada 175 bilion menjelang 2040 nanti," jelas CGS-CIMB Research.

 

Semalam, Hartalega dalam pengumuman di Bursa Malaysia memberitahu, pihaknya menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hartalega NSM Sdn. Bhd. telah membeli sebidang tanah berkeluasan 250 ekar di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

 

Pembelian tanah tersebut dibuat dengan nilai RM228.7 juta untuk membina 16 kilang pembuatan baharu yang melibatkan pelaburan RM7 bilion bagi tempoh 20 tahun.

 

Baca: Hartalega beli tanah di Kedah bernilai RM228.7 juta

 

Mengulas perkara sama, MIDF Research berkata, pembelian tanah tersebut bagaimanapun dijangka tidak memberi kesan yang ketara kepada kunci kira-kira syarikat berkenaan dalam masa terdekat.

 

MIDF Research turut berpendapat bahawa pembangunan tersebut akan dijalankan mengikut penawaran dan permintaan pasaran semasa.

 

"Kami tidak menjangkakan kesan yang ketara bagi tempoh jangka pendek kerana kami percaya syarikat berkenaan akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja di NCG 2.0 menjelang 2022.

 

"Kami beranggapan pembelian tanah tersebut sebagai langkah strategik untuk mengekalkan pasarannya sebagai salah satu pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia," jelas MIDF Research. - DagangNews.com