Pengeluaran sawit merosot dibimbangi rencatkan prospek positif KLK - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran sawit merosot dibimbangi rencatkan prospek positif KLK - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Penganalisis kekal optimis terhadap prospek Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada masa hadapan yang dipacu oleh persekitaran perniagaan bagi segmen perladangan dan pembuatan memberangsangkan serta pengambilalihan IJM Plantations Berhad.

 

Namun, prospek positif itu dibimbangi terjejas akibat penguncupan pengeluaran buah sawit segar (FFB) kerana kekurangan tenaga buruh ekoran penularan pandemik COVID-19. 

 

“Walaupun pengeluaran (FFB) dijangka meningkat mengikut musim, namun ia mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu kerana isu kekurangan tenaga buruh belum diselesaikan,” jelas firma penyelidikan, MIDF Research dalam satu nota kajiannya. 

 

Pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) yang berakhir 30 Jun 2021, KLK mencatatkan keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada RM783.94 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya disumbangkan oleh lebihan nilai wajaran daripada pelupusan syarikat bersekutunya, Aura Muhibah Sdn Bhd.

 

Dari segi perbandingan suku tahunan, hasil kumpulan menokok 39.38% kepada RM5.17 bilion yang dipacu oleh segmen perladangan. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham KLK dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM29.22, namun penarafan itu berdepan risiko kemerosotan mendadak harga minyak sawit mentah (MSM), permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat.

 

Di sebalik prestasi cemerlang itu, CGS-CIMB Research pula menurunkan TP KLK kepada RM22.49 daripada RM25.25 setelah mengambil kira risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terhadap amalan buruh yang telah memberi kesan kepada industri minyak sawit.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan ‘tambah’ saham kumpulan dengan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan semasa ditingkatkan sebanyak 26% setelah mengambil kira harga MSM lebih tinggi dan margin hiliran yang lebih baik.

 

Sementara itu, kedua-dua firma penyelidikan Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) dan Kenanga Research percaya prestasi kewangan KLK yang kukuh pada 3QFY21 akan diteruskan memasuki 4QFY21, dipacu oleh harga MSM dan produk sawit yang lebih tinggi. - DagangNews.com