Pengembangan rangkaian 5G dijangka menyumbang kepada peningkatan hasil OCK | DagangNews Skip to main content

Pengembangan rangkaian 5G dijangka menyumbang kepada peningkatan hasil OCK

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Pengembangan rangkaian 5G dijangka memerlukan pelaburan tambahan dalam pengurusan tapak serta khidmat penyelenggaraan dan ia akan menyumbang kepada peningkatan hasil OCK Group Bhd.

 

Rakuten Trade berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan positif bagi memanfaatkan perkembangan landskap telekomunikasi dan jaringan meluas rangkaian 5G di negara ini.

 

Katanya, pelaksanaan teknologi 5G mewujudkan peluang pertumbuhan ketara kepada kumpulan itu, yang membawa kepada peningkatan permintaan bagi perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi, termasuk pembinaan dan penyelenggaraan menara serta rangkaian gentian optik.

 

"Bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian telekomunikasi terbesar di Malaysia, OCK dapat memberi reaksi secara strategik terhadap inisiatif Rangkaian Digital Nasional (Jendela) bagi meningkatkan liputan 4G dan beralih kepada 5G.

 

"Sehingga 31 Disember 2023, kumpulan itu mempunyai buku pesanan tertunggak sebanyak RM250 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peralihan global ke arah penyelesaian tenaga mampan juga dilihat memberi peluang pasaran ketara kepada kumpulan itu.

 

Katanya, OCK memiliki dan mengendalikan 29 ladang solar dengan jumlah kapasiti gabungan sebanyak 14MW.

 

"Strategi syarikat adalah untuk mengembangkan bahagian tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui peningkatan kapasiti sebanyak 10MW menjelang FY24, hasil kerjasama dengan kerajaan negeri.

 

"Pengembangan strategik ini menggariskan peranan penting RE dalam memacu trajektori pertumbuhan OCK pada masa hadapan," katanya.

 

Rakuten Trade mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 83 sen sesaham - DagangNews.com