Pengembangan Terminal Langsat diunjur menyumbang secara positif kepada pendapatan berulang Dialog - HLIB | DagangNews Skip to main content

Pengembangan Terminal Langsat diunjur menyumbang secara positif kepada pendapatan berulang Dialog - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengunjurkan pengembangan Terminal Langsat akan menyumbang secara positif kepada aliran pendapatan berulang Dialog Group Bhd.

 

Katanya, selain itu, pengembangan itu juga akan membantu mempelbagaikan operasi terminalnya bagi memenuhi produk bahan api boleh diperbaharui.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas Dialog dengan harga sasaran (TP) RM3.04 sesaham selepas peralihan tahun asas penilaian kepada kewangan tahun 2025 (FY25).

 

"Kami memahami bahawa terminal bahan api boleh diperbaharui biasanya mempunyai kadar 30% hingga 50% lebih tinggi daripada rakan setara konvensionalnya.

 

"Berdasarkan pengiraan, pengembangan ini akan menyumbang RM18.3 juta/RM19.3 juta kepada pendapatan Dialog bagi FY27/FY28 dan menambah empat sen sesaham kepada nilai ekuiti keseluruhan Terminal Langsat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan, anak syarikatnya akan mengembangkan kemudahan penyimpanannya untuk penyimpanan tambahan 150,000 meter padu bagi produk boleh diperbaharui dan petroleum di terminalnya di Tanjung Langsat, Johor.

 

Katanya, sejumlah 100,000 meter padu pertama dikhususkan kepada EcoCeres Limited, anak syarikat EcoCeres Inc dan baki 50,000 meter padu akan disewakan kepada pelanggan pihak ketiga seperti syarikat multinasional dan rumah perdagangan.

 

Pembesaran itu dijangka siap pada suku pertama FY27.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka akan mempunyai modal sebanyak RM250 juta, nisbah hutang kepada ekuiti sebanyak 70% dengan kadar peningkatan tahunan sebanyak 2% dan kadar penggunaan campuran sebanyak 95%.

 

"Kami menyukai Dialog kerana model perniagaan pendapatan berulangnya dan kedudukan uniknya dalam menempuh pengembangan masa depan di Pengerang melalui pembangunan terminal tangka simpanan. 

 

"Kami berharap kumpulan itu mendapatkan kontrak terminal tangki simpanan khusus jangka panjang baharu untuk PDT Fasa 3 dengan kira-kira 202.3 hektar tersedia untuk pembangunan masa depan,” katanya.- DagangNews.com