Pengenalan Akaun 3 KWSP, kenaikan gaji penjawat awam diunjur sokong perbelanjaan pengguna - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pengenalan Akaun 3 KWSP, kenaikan gaji penjawat awam diunjur sokong perbelanjaan pengguna - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - RHB Investment mengunjurkan, pengenalan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan gaji penjawat awam adalah langkah berkesan untuk menyokong perbelanjaan pengguna.

 

Katanya, peningkatan kehadiran pelancong juga dilihat memberi manfaat kepada pemain industri runcit.

 

"Bagaimanapun, ketidakpastian kesan inflasi akibat rasionalisasi subsidi kekal menjadi kebimbangan utama bagi sektor tersebut.

 

"Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selepas keputusan suku pertama tahun ini memenuhi jangkaan dengan margin keuntungan bertambah baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, lapan syarikat di bawah liputannya melaporkan pendapatan dalam jangkaan, empat mencatatkan peningkatan ketara dan Padini Holdings Bhd mencatatkan keputusan mengecewakan kesan diskaun harga agresif selain peningkatan kos kakitangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata maklum balas umum daripada sektor korporat ialah sentimen pengguna kekal lemah berikutan tekanan inflasi yang meningkat.

 

"Sementara itu, terdapat pengembangan positif dalam margin untung kasar bagi kebanyakan syarikat makanan ruji termasuk Farm Fresh, Nestle dan QL Resources, sebahagian besarnya didorong oleh pengurangan kos input," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MR DIY Group Bhd dilihat akan menjadi penerima manfaat utama skim pengeluaran fleksibel KWSP dan kenaikan gaji untuk penjawat awam, memandangkan rangkaian kedai dan penawaran produk yang kukuh.

 

"Kami juga melihat Focus Point Holdings Bhd akan mencatatkan pertumbuhan positif yang disokong oleh inisiatif pemasaran yang berkesan dan peningkatan populasi rabun.

 

"Kami juga menyukai MyNews Holdings Bhd kerana percaya pertumbuhan kukuh jenama MyNews dan jangkaan pemulihan jenama CU boleh mencetuskan penilaian semula untuk kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com