Pengerusi Genting ‘pertaruh’ hampir semua pegangan saham selamatkan syarikat pelayaran | DagangNews Skip to main content

Pengerusi Genting ‘pertaruh’ hampir semua pegangan saham selamatkan syarikat pelayaran

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay mempertaruhkan hampir semua pegangan sahamnya di syarikat pelayaran, Genting Hong Kong (Genting HK) sebagai cagaran pinjaman selepas harga saham syarikat itu merudum 38%.

Menurut laporan Bloomberg, langkah itu diambil setelah Genting HK menangguhkan semua pembayaran pinjaman dalam usaha untuk mengekalkan perkhidmatan tersebut.

Penjualan saham itu merupakan rekod tertinggi.

Kok Thay mencagarkan pegangan saham sehingga 76% atau enam bilion saham di Genting HK, meningkat daripada 5.5 bilion saham yang dicagarkan pada April lalu.

“Setakat Mac 2020, beliau telah mempertaruhkan 550 juta saham di Genting Berhad atau 32% pegangannya berbanding 70 juta pada tahun lalu, berdasarkan laporan tahunan syarikat berkenaan,” jelas Bloomberg.

Sejak Disember 2019, nilai saham Genting Berhad merosot hampir dua pertiga. 

Perniagaan Genting termasuk kasino hingga hospitaliti melaksanakan pemotongan gaji pada awal tahun ini dan Genting Malaysia Berhad pada Jun lalu difahamkan memberhentikan ribuan pekerjanya.

Cagaran saham itu boleh membawa risiko panggilan margin (margin call). Panggilan margin berlaku apabila satu atau lebih aset yang dicagarkan dalam akaun mengalami penurunan nilai sekali gus menyebabkan peminjam untuk meletakkan lebih banyak aset untuk menampung kerugian.  

Dalam pada itu, pakar pampasan eksekutif di Chicago, Michael Melbinger berpendapat langkah yang diambil berkenaan akan meletakkan Kok Thay dalam situasi lebih rumit. 

“Banyak syarikat yang berdepan cabaran apabila terdapat kemerosotan ketara dalam harga saham.

“Ini sering berlaku. Bagaimanapun, sekiranya cabaran ini menyebabkan pemegang saham atau pengarah syarikat untuk menjual saham atau panggilan margin yang secara automatik menyebabkan penjualan saham, masalah ini akan menjadi lebih buruk,” jelas beliau seperti dipetik Bloomberg. 

Cagaran saham bukan sesuatu yang normal terutamanya di Asia memandangkan kebanyakan syarikat besar cenderung ‘mendapatkan bantuan’ daripada pemberi pinjaman atau firma perkhidmatan kewangan yang menawarkan tunai sebagai pertukaran kepada saham. 

Aset Kok Thay kini bernilai AS$700 juta (RM3 bilion) tidak termasuk saham yang dicagarkan, menurun daripada AS$1.5 bilion pada awal tahun, berdasarkan Bloomberg Billionaires Index. - DagangNews.com