Pengguna dijangka lebih berhati-hati ketika berbelanja kesan ketidaktentuan ekonomi, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pengguna dijangka lebih berhati-hati ketika berbelanja kesan ketidaktentuan ekonomi, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - AmInvestment Bank Research mengunjurkan sentimen pengguna kekal lemah dengan mereka akan terus berhati-hati ketika berbelanja kesan daripada ketidaktentuan makroekonomi.

 

Katanya, pengguna dilihat berhati-hati untuk membeli barangan bukan keperluan kerana kerjaan akan memperkenalkan beberapa cukai pada tahun ini seperti cukai jualan 10% ke atas barangan import bernilai rendah yang dijual secara dalam talian bermula 1 April 2024.

 

Kenaikan cukai 5% hingga 10% ke atas cukai barang bernilai tinggi (HVGT) tertentu serta kenaikan 2% dalam kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% berkuat kuasa 1 Mac 2024.

 

"Kami menjangkakan peruncit akan membuka lebih banyak kedai baharu selain menyediakan kepelbagaian produk mereka.

 

"Ia bertujuan menarik minat lebih tinggi terhadap kedai mereka dan pada masa sama membantu mengekalkan hasil walaupun sedang bergelut dengan sentimen pengguna lemah dan barangan bukan keperluan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melaporkan penurunan 15% tahun ke tahun dalam indeks sentimen pengguna kepada 89.4 mata berbanding suku keempat 2022.

 

"Walaupun inflasi kekal rendah, potensi rasionalisasi subsidi pada separuh kedua 2024 boleh meningkatkan tekanan inflasi pada masa hadapan," katanya.

 

Katanya, kadar pengangguran yang stabil dijangka terus menyokong perbelanjaan penggunaan bagi barangan keperluan.

 

"Kami menjangkakan kadar pengangguran menurun kepada 3.2% pada 2024 berbanding 3.3% pada Disember 2023," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pengguna berdasarkan perbelanjaan berhati-hati pengguna pada masa hadapan dengan mereka mula mencari barangan altenatif yang lebih murah atau barangan bukan berjenama.

 

"Sektor itu juga dijangka berdepan beberapa cabaran termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan, kadar pegangguran yang lebih tinggi daripada jangkaan, kenaikan harga komoditi melebihi ramalan serta kehadiran pelancong yang lebih perlahan berbanding unjuran," katanya. - DagangNews.com