Peningkatan eksport ke China Ogos 2024 cukup positif, potensi perdagangan lebih kukuh daripada unjuran - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan eksport ke China Ogos 2024 cukup positif, potensi perdagangan lebih kukuh daripada unjuran - MIDF Research

Gambar Pelabuhan Tanjung Pelepas
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - Peningkatan eksport ke China yang dicatatkan pada Ogos 2024 setelah dua bulan menguncup adalah perkembangan positif bagi perdagangan Malaysia, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai pertumbuhan perlahan di China, eksport Malaysia ke negara tersebut pulih kepada +4.8% tahun ke tahun disokong oleh peningkatan eksport produk elekrik dan elekronik (E&E), getah dan barangan logam.

 

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa peningkatan permintaan luar dari rakan dagang utama akan memacu pertumbuhan eksport Malaysia dalam bulan-bulan akan dating," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MIDF Research, eksport produk E&E yang lebih kukuh pada Ogos 2024 selaras dengan trend serantau dan peningkatan berterusan dijangkakan bagi perdagangan E&E global.

 

Kata firma itu, permintaan yang lebih tinggi untuk komoditi lain juga akan terus menyokong pemulihan eksport Malaysia dalam bulan-bulan akan datang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan Malaysia Ogos 2024 cecah RM252.65 bilion, eksport naik 12.1% - MITI

 

 

dosm
Infografik DOSM

 

"Kami mengekalkan unjuran eksport dan import barangan Malaysia akan pulih dan meningkat masing-masing kepada +5.2% (2023: -8.0%) dan +11.2% (2023: -6.4%) bagi tahun ini. 

 

"Memandangkan prestasi yang lebih kukuh setakat ini, terdapat potensi untuk semakan ke atas. Khususnya, pemulihan dalam sektor E&E nampaknya semakin rancak, di samping peningkatan permintaan untuk komoditi eksport lain," jelasnya. 

 

Tambah MIDF Research, aktiviti ekonomi domestik yang kukuh juga telah menghasilkan pertumbuhan yang berterusan dalam import. 

 

"Prospek yang menggalakkan untuk ekonomi domestik ini boleh berterusan dalam empoh beberapa bulan akan datang. 

 

"Walau bagaimanapun, kami tetap berwaspada bahawa aktiviti perdagangan luar Malaysia mungkin terjejas secara negatif oleh peningkatan konflik geopolitik dan risiko permintaan akhir yang lemah dari pasaran utama.

 

"Ini termasuk kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan yang lebih perlahan di China dan Amerika Syarikat (AS)," ujarnya.

 

Sementara itu, kata MIDF Research, eksport Ogos 2024 ke AS meningkat kepada +45.4% tahun ke tahun, pertumbuhan tertinggi sejak Mei 2021.

 

"Ini didorong terutamanya oleh peningkatan penghantaran produk E&E. 

 

"Selain E&E, penghantaran ke Singapura juga disokong oleh produk minyak mentah dan petroleum," katanya. - DagangNews.com