Peningkatan kadar penggunaan pelantar penggerudian, CGS-CIMB unjur prestasi cemerlang Velesto berterusan hingga 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kadar penggunaan pelantar penggerudian, CGS-CIMB unjur prestasi cemerlang Velesto berterusan hingga 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan prestasi cemerlang Velesto Energy Berhad pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) akan berterusan hingga suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24).

 

Unjuran itu dibuat selepas firma itu menganggarkan kadar penggunaannya pelantar penggerudiannya mencapai paras 98% pada 4QFY23.

 

Katanya, kumpulan itu baru-baru ini memberi panduan bahawa kadar penggunaan FY24 dijangka berada antara 80% hingga 85% berbanding 83% pada FY23.

 

"Buat masa ini kami mengandaikan kadar penggunaan adalah sekitar 80% dan apa sahaja melebihi paras itu dikira sebagai bonus.

 

"Walaupun berjaya memperoleh sekitar 63% kadar penggunaan bagi FY24, kami tetap yakin dengan keupayaan Velesto untuk memenuhi panduannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan itu disokong oleh permintaan pelanggan domestik yang telah menempah Naga 2 dan Naga 4 bagi kerja-kerja penggerudian tambahan di Malaysia. 

 

Selain itu, rundingan bagi kerja-kerja tambahan Naga 5 di Malaysia atau Asia Tenggara juga sedang dijalankan.

 

CGS-CIMB Research meningkatkan menyemak naik unjuran untung bersih teras FY23 sebanyak 18% dengan melaraskan kadar penggunaan pelantarnya kepada 83% berbanding 80% sebelumnya.

 

Bagaimanapun, mereka menurunkan ramalan untung bersih teras FY24 dan FY25 sebanyak 23% dan 27% bagi mencerminkan kenaikan kadar cukai berkesan daripada 11% hingga 12% kepada  22%.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 29 sen berbanding 27.5 sen sesaham. - DagangNews.com