Peningkatan kos pengangkutan akibat krisis Laut Merah dijangka beri kesan kepada margin Thong Guan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kos pengangkutan akibat krisis Laut Merah dijangka beri kesan kepada margin Thong Guan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Peningkatan kos pengangkutan akibat krisis Laut Merah dijangka memberi kesan negatif kepada margin Thong Guan Industries Bhd.

 

Kenanga Research berkata, situasi itu akan menyukarkan kumpulan itu mengekalkan harga kompetitf bagi produk keluarannya bagi pasaran Eropah serta Amerika Utara.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus memberi fokus kepada pasaran Eropah dan Amerika bagi produk filem regangan premium dan produk pembungkusan berkaitan, yang menawarkan margin yang lebih baik.

 

"Kawasan ini merupakan pasaran global utama untuk produk plastik, pada masa ini masih belum diterokai oleh mana-mana pemain industri dari Malaysia.

 

"Kami percaya Thong Guan berada pada kedudukan baik untuk menguasai bahagian pasaran melalui filem regangan nano dan strategi pemasaran proaktif termasuk penyertaan aktif dalam pameran perdagangan, pengembangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Newton dan trak ujian mudah alihnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) susut 29% kepada RM71.9 juta berbanding RM102.2 juta pada tahun sebelumnya dengan pendapatan mereka juga menyusut kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.4 bilion pada FY22.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan hasil itu adalah disebabkan kelembapan dalam segmen pembungkusan plastik terutamanya untuk beg sampah, beg kurier dan bungkusan makanan.

 

Selain itu, ia juga adalah kesan daripada pengurangan purata harga jualan (ASP) akibat kos resin yang lebih rendah untuk filem regangan serta filem industrinya.

 

"Keuntungan bersih terasnya menguncup lebih 24% disebabkan perbelanjaan jualan dan pengedaran yang lebih tinggi, peningkatan kos kewangan dan peningkatan kos buruh serta utiliti," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.86 sesaham. - DagangNews.com