Peningkatan kos pengeluaran, MSM Malaysia catat kerugian operasi sebanyak RM22.7 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kos pengeluaran, MSM Malaysia catat kerugian operasi sebanyak RM22.7 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) terus mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM22.7 juta disebabkan kos pengeluaran yang lebih tinggi selain peningkatan 24% bagi gula mentah dan juga kos-kos sampingan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, kos input yang tinggi disebabkan peningkatan kos gula mentah, kos pengangkutan dan gas asli yang tinggi serta kelemahan Ringgit Malaysia.

 

Beliau berkata, kos input semasa yang tinggi sedang ditangani tetapi terus menghalang peningkatan prestasi kewangan kumpulan.

 

"Harga siling yang ditetapkan kerajaan kekal tidak berubah dan tanpa subsidi sejak 10 tahun lalu. 

 

"Harga gula Malaysia yang dikawal adalah termurah di rantau ini dan dunia mewakili kejanggalan dalam ekonomi. 

 

"Oleh itu, banyak negara lain di rantau ini telah menaikkan harga gula seperti Indonesia dan Thailand dan kami meminta sokongan kerajaan untuk pemulihan harga bagi membantu mengatasi kos input yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) kerugian bersih kumpulan itu susut kepada RM36 berbanding RM73 juta pada suku sama tahun lalu didorong peningkatan margin segmen industri dan eksport didorong kos pengangkutan yang lebih rendah dan penggunaan kapasiti yang lebih baik berbanding sebelum ini.

 

Hasil bagi suku itu juga meningkat kepada RM807 juta, 21% lebih tinggi berbanding RM668 juta bagi suku yang sama tahun lepas manakala hasil 9MFY23 meningkat kepada RM2.14 bilion, naik sebanyak 13% daripada RM1.89 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Peningkatan hasil itu disebabkan oleh kenaikan sebanyak 13% purata harga jualan (ASP) untuk semua segmen walaupun jumlah jualan lebih rendah.

 

Syed Faizal berkata, MSM akan memastikan bekalan gula di pasaran tidak terganggu dan penting untuk mengiktirafnya di bawah agenda keselamatan makanan negara terutamanya mengintegrasikannya dengan aktiviti huluan dalam membangunkan ladang  tebu tempatan atau melalui pelaburan berbalik di wilayah berdekatan.

 

Belia berkata, pihaknya juga akan mengambil semua langkah bagi memastikan kumpulan itu kembali mencatatkan keuntungan seperti pada 2021 dan memberi pulangan positif kepada pemegang saham.- DagangNews.com