Peningkatan penggunaan teknologi 5G, Philip Research positif terhadap prospek OCK Group | DagangNews Skip to main content

Peningkatan penggunaan teknologi 5G, Philip Research positif terhadap prospek OCK Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Prospek OCK Group Bhd diunjur positif berdasarkan kepada peningkatan penggunaan teknologi 5G serta permintaan menggalakkan daripada perniagaan rumusan tenaga solar.

 

Philip Research berkata, unjuran positif itu disokong oleh buku pesanan RM220 juta selain hasil daripada pemajakan menara, penjimatan kos dan prospek perniagaan rumusan tenaga solar serta digital. 

 

"Kami kekal positif terhadap rancangan pertumbuhan menara serantau OCK, didorong pelancaran berterusan 5G di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berpeluang mendapat manfaat daripada nisbah penyewaan yang lebih tinggi di Malaysia, diunjur meningkat daripada 1.5 kali kepada 1.6 kali ganda, di samping penggunaan tapak baharu di bawah inisiatif rangkaian dwi 5G.

 

Katanya, OCK memperoleh kontrak untuk 100 tapak baharu di Laos daripada Best Telecom, dengan 60 daripada tapak itu dijangka siap menjelang 2025.

 

Di Vietnam, peruntukan spektrum 5G baharu baru-baru ini kepada Viettel dan VNPT dijangka meningkatkan lagi nisbah penyewaan kepada 1.6 kali ganda.

 

"OCK telah memeterai kontrak tiga tahun dengan DigitalEdge untuk mengekalkan 3,000 menara, meningkatkan jumlah bilangan menara terurusnya di bawah portfolio kepada 63,000.

 

"Pemangkin penarafan semula utama OCK seterusnya termasuk mendapatkan kontrak dalam pusat data, solar, dan perniagaan rumsadigitalnya yang sedang berkembang," katanya.

 

Baru-baru ini, kumpulan itu memperoleh projek solar Net Energy Metering (NEM) 2.5 megawatt (MW), yang dijangka mula menyumbang pada 2025.

 

"Prospek untuk perniagaan rumusan digitalnya dilihat positif, dengan bidaan berterusan berjumlah RM400 juta. 

 

"Kami mendapati bahawa sebahagian besar nilai bida termasuk kontrak peningkatan sistem pembayaran dengan penyepaduan pengecaman muka berasaskan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 85 sen sesaham. - DagangNews.com